Isnin, 16 Februari 2015 | 7:04pm

Teknologi grid pintar TNB dorong penjimatan bil elektrik

KUALA LUMPUR: Teknologi grid pintar dan sistem Tarif Masa Penggunaan diperkenalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka membolehkan pengguna menjimatkan bil elektrik pada masa depan.

Teknologi itu yang kini sedang dalam peringkat perintis dan dijangka diperkenalkan dua tahun lagi, akan dilaksanakan menerusi pengenalan meter baharu yang akan diberikan kepada semua 8.5 juta pemegang akaun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sistem meter baharu itu membolehkan TNB mengetahui penggunaan kuasa bagi zon tertentu pada satu-satu masa dan membuat pelarasan secara automatik untuk menyalurkan bekalan secukupnya berdasarkan keperluan.

Antara manfaat penggunaannya ialah pembilan lebih cekap dan tepat, lebih kawalan dalam penggunaan tenaga, proses sambungan dipertingkat dan penyampaian maklumat yang berkesan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Azman Mohd, berkata sistem grid pintar sedang diuji guna sejak dua tahun lalu untuk mewujudkan persekitaran penggunaan tenaga elektrik yang lebih cekap dan berkesan.

"Menerusi sistem Tarif Masa Penggunaan pula, pengiraan kadar tarif juga berbeza kerana diukur mengikut waktu penggunaannya," katanya selepas pelancaran Program Latihan Industri 'TNB Better Brighter' Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Makmal Grid Pintar UNITEN di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sistem grid pintar dilaksanakan menerusi dua projek perintis di Melaka dan Putrajaya.

"Projek itu yang dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Suruhanjaya Tenaga dan Unit Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (PEMANDU) membabitkan pemasangan 800 unit meter pintar di Melaka dan 200 unit di Putrajaya.

"Meter berkenaan berfungsi untuk mengelak ketirisan tenaga dan maklumat yang diperoleh dapat membantu membimbing pengguna supaya menggunakan elektrik dengan lebih bijak.

Berita Harian X