Selasa, 17 Februari 2015 | 4:08pm

Program penguasaan Bahasa Inggeris ditambah baik

DATUK Seri Idris Jusoh (kanan) bersama Penyelaras Majlis Program ProELT British, Michael Charters ketika lawatan dan melihat peserta program latihan peningkatan kemahiran Guru Bahasa Inggeris (Pro- ELT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sentiasa mengkaji keperluan menambah baik program peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar memandangkan ia menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkuat kuasa tahun depan.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program meningkatkan keupayaan guru dan pelajar menguasai Bahasa Inggeris sedang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan dapat dilihat berlaku peningkatan ketara dari segi keyakinan dan teknik mengajar.

"Namun, kita juga sentiasa meneliti program yang sedang dilaksanakan untuk dinaik taraf bagi mewujudkan keseimbangan dalam setiap inisiatif yang diambil, agar penguasaannya terus meningkat," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat latihan Pro-ELT di sini Selasa.

Pro-ELT atau program pemantapan tahap pengajaran Inggeris merupakan antara beberapa inisiatif penambahbaikan yang dicadangkan makmal khas diwujudkan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar.

Inisiatif lain yang dilaksanakan ialah Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA), Program Penutur Jati, Program Teach For Malaysia (TFM) dan pengambilan semula guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara.

Idris berkata, setakat ini seramai 14,000 guru sudah mengikuti program Pro-ELT, 1,500 sedang dilatih manakala sejumlah 7,000 guru lagi akan dilatih secara berperingkat-peringkat sehingga April 2016.

Berhubung penerimaan dan kesediaan murid luar bandar berikutan keputusan wajib lulus ke atas subjek bahasa Inggeris, beliau berkata memperlengkapkan guru dengan kemahiran bahasa tersebut merupakan cara terbaik dalam mempersiapkan pelajar berhadapan dengan peperiksaan.

Idris berkata, kementerian juga memberikan lebih tumpuan kepada 1,191 sekolah yang dikenal pasti sebagai lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris daripada 1,800 sekolah yang terlibat dalam Program Penutur Jati . - BERNAMA

Berita Harian X