Rabu, 18 Februari 2015 | 10:29am

Bursa Malaysia bercampur-campur pada awal sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur pagi ini kerana kegiatan pembelian pada harga murah dalam kalangan saham wajaran tinggi tertentu diselang seli dengan kegiatan pengambilan untung, kata peniaga.

Pada jam 9.30 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,810.8 naik 0.71 mata selepas dibuka 3.55 mata rendah pada 1,806.54.

Seorang peniaga berkata, pasaran secara keseluruhannya agak lemah sejajar dengan sentimen bearis di peringkat serantau berikutan kegagalan rundingan antara Greece dan kumpulan pemberi hutang serta ketiadaan petunjuk baharu dari Wall Street.

"Paras rintangan utama masih pada paras tertinggi 4 Februari sebanyak 1,831 mata, sepadan dengan paras purata 200-hari manakala sokongan semerta pada 1,778 mata," kata seorang peniaga.
Pada papan skor Indeks FBM Emas naik 7.38 mata pada 12,469.62, Indeks FBMT100 naik 6.31 mata kepada 12,150.01, Indeks FBM Emas Syariah naik 11.091 mata kepada 12,963.98, FBM ACE naik 0.27 mata kepada 6,581.99 manakala FBM 70 susut 17.14 mata kepada 13,428.86.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 165 berbanding 147 manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,292 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 158.6 juta saham bernilai RM97.84 juta.

Antara saham aktif, IFCA MSC jatuh senam sen kepada RM1.20 manakala Wintoni dan Systech masing-masing susut satu sen kepada 15 sen dan 34 sen. Xhinghe dan Asia Bioenergy tidak berubah pada 11.5 sen dan 12.5 sen.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM9.26, Public Bank naik dua sen kepada RM18.24, Axiata naik lima sen kepada RM7.08, Sime Darby naik sembilan sen kepada RM9.59 dan TNB turun 10 sen kepada RM14.04. - BERNAMA

Berita Harian X