Khamis, 19 Februari 2015 | 12:23pm

Misi merungkai misteri warisan Pulau Perak

Malaysia adalah sebuah negara maritim yang mempunyai pantai yang sangat panjang, ratusan kepulauan di persisiran dan luas kawasan lautnya dua kali lebih besar daripada daratan. Bagaimanapun, pengetahuan, aktiviti dan persediaan negara untuk memanfaatkan kawasan persisiran dan laut sangat terbatas berbanding sumber yang ada di daratan.

Sejak pertengahan Januari 2015, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan Ekspedisi Saintifik Selat Melaka, bermula dari Tanjung Pelepas di Johor hingga kepulauan Langkawi, Kedah. Ekspedisi ini akan berakhir dan pulang di Kuala Terengganu pada awal April ini. Kapal Penyelidikan RV Discovery yang dilengkapi oleh pelbagai peralatan saintifik milik UMT adalah fasiliti utama digunakan bagi menjayakan ekspedisi berkenaan.

Pada malam 12 Februari, saya sempat belayar bersama RV Discovery Pulau Perak dari Pulau Langkawi. Perjalanan pada jarak sekitar 60 batu nautika (110 km) mengambil masa hampir enam jam. Kami sampai ke Pulau Perak Subuh esoknya dan ahli ekspedisi penyelam skuba terus membuat persediaan untuk memulakan selaman pertama.

Pulau Perak (warna batuannya seakan-akan perak), penting untuk negara kerana ia lambang kedaulatan perairan Malaysia di Laut Andaman, sama seperti Pulau Sipadan di Laut Sulawesi. Pulau ini dikawal rapi oleh pasukan keselamatan kita sehingga kami tidak berkesempatan menghampiri pulau dan memegang batuan yang membentuknya.

Berdasarkan cerapan dari kapal, pulau ini terbentuk daripada singkapan batuan tanah tanpa lapisan tanah. Tumbuhan renik hidup di celah-celah rekahan batuan dan rumput serta tumbuhan paku pakis hidup di lekukan yang mempunyai kemampuan menampung air hujan.

Pulau Perak berdiameter 200 meter

Pulau Perak sebuah pulau kecil dengan diameter sekitar 200 meter (m) terbentuk daripada batuan, kemungkinan batuan metamorf berusia ratusan juta tahun. Dinding batuan ini adalah tebing curam berketinggian lebih 100m.

Laporan daripada pasukan penyelam menjelaskan, tebing curam berterusan sehingga 35m di bawah permukaan laut. Pada dinding curam ini tumbuh pelbagai spesies karang yang menjadi perumah hidupan laut. Banyak ikan bersaiz besar menjadikan pulau ini habitat hidupnya.

Malaysia mempunyai ratusan pulau kecil di perairan pantainya. Sebahagian besar daripada pulau ini adalah tinggalan kawasan berbukit yang mengalami hakisan laut sehingga menghasilkan pulau baki. Kebanyakan pulau baki terletak berhampiran pantai (kurang daripada 20 batu nautika) dan terletak pada dasar lautnya sekitar 30m.

Pulau Perak adalah satu-satunya pulau baki yang berada jauh di tengah laut dan berada pada dasar laut berkedalaman hampir 100m. Batuan yang membentuk Pulau Perak ini luar biasa kerasnya sehingga mampu bertahan daripada hakisan laut dan tinggal sebatang kara di Selat Melaka antara Sumatera dan Semenanjung. Ada rancangan untuk menjadikan Pulau Perak sebahagian daripada sistem Taman Laut, tetapi usaha ini masih belum menjadi kenyataan.

Maklumat terbatas

Saya cuba mencari maklumat mengenai pulau ini, ternyata kajian saintifik mengenai asal usul dan ekosistem daratan dan marin juga terbatas. Tradisi penyelidikan ilmiah untuk mengenali khazanah kelautan di negara kita masih pada tahap awalan. Diharapkan kajian saintifik yang dilakukan melalui ekspedisi ini dapat menyumbang ke arah pengkayaan sumber ilmu berkaitan ekosistem kepulauan di perairan negara kita.

Saya mengikuti ekspedisi saintifik ke Pulau Perak atas tiga alasan. Pertama, ingin menguji keupayaan RV Discovery, belayar ke tengah lautan. Saya yakin kini, sebagai sebuah kapal kecil, ia cukup stabil untuk kerja penyelidikan di perairan negara. Kedua, mengambil peluang untuk melihat sendiri Pulau Perak, sebuah pulau milik Malaysia yang penuh misteri dan ketiga, untuk bersama memberikan sokongan moral kepada penyelidik yang berusaha meneroka khazanah lautan.

Di samping pertumbuhan ekonomi untuk pembangunan negara, kita perlu imbangi dengan warga yang cintakan penerokaan ilmu asas yang mencari menjawab siapa kita dan apakah warisan bangsa yang menjadi lambang kemegahan negara?

Institusi pengajian tinggi awam seharusnya diberikan sedikit kebebasan untuk membangunkan modal insan yang ghairah meneroka ilmu mengenali asal usul bangsa, nilai budaya, warisan alam tabii dan kepelbagaian sumber bumi termasuk biologi marin. Inilah khazanah negara dan ketamadunan bangsa yang penting diwarisi oleh anak cucu kita.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X