Jumaat, 20 Februari 2015 | 8:29pm

Myanmar setuju sertai Pengaman ASEAN - Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan Myanmar, Lt Gen Wai Lwin di Nay Pyi Taw, Myanmar, pada Rabu lepas. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Myanmar bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada anggota kepada cadangan penubuhan Pasukan Pengaman ASEAN, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan bersama Komander Panglima Perkhidmatan Pertahanan Myanmar, Min Aung Hlaing, di negara itu, hari ini.

"Dalam menonjolkan semangat kesepaduan ASEAN, cadangan penubuhan Pasukan Pengaman ASEAN ini dilihat mampu meraih pengiktirafan masyarakat dunia dalam mengiktiraf ASEAN sebagai satu entiti tunggal.

"Myanmar sudah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Pasukan Pengaman ASEAN seperti yang dicadangkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain Aung Hlaing, Hishammuddin turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya yang juga Menteri Pertahanan Myanmar, Gen Wai Lwin serta Naib Presiden Kesatuan, HE Admiral Nyan Tun.

Pada pertemuannya bersama Wai Lwin, katanya Malaysia menggalakkan penyertaan aktif Myanmar dalam Kumpulan Kerja Pakar (EWG), terutamanya di bawah rangka kerja Pusat Penyelarasan ASEAN Bagi Bantuan Kemanusiaan (HADR) dan Peace Keeping Operation (PKO).

Malah kedua-duanya juga bersetuju bahawa militan Negara Islam (IS) adalah antara ancaman yang diterima di rantau ini, memaksa kerjasama lebih erat perlu ditingkatkan terutama di bawah platform ADMM.

Dalam perjumpaan sama juga, Hishammuddin turut menyampaikan jemputan peribadinya kepada Myanmar bagi menghadiri ADMM ke-9 dan Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi Ke-15 (LIMA'15) yang akan berlangsung di Langkawi, Kedah, Mac depan.

"ADMM ke-9 adalah sangat penting kerana semua 10 Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN akan membincangkan bagaimana untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap cabaran keselamatan yang dihadapi rantau ini," katanya.

Selesai kunjungannya ke Myanmar, Hishammuddin dijadual akan mengadakan lawatan kerjanya ke Kemboja esok dan seterusnya ke Laos dan Vietnam.

Berita Harian X