Isnin, 23 Februari 2015 | 12:26pm

Dua suspek rompakan ditembak mati di Tapah

DATUK Osman Salleh (tengah) melihat pistol yang digunakan suspek ketika sidang media di sini hari ini. - Foto Farhan Najib
DATUK Osman Salleh (tengah) melihat pistol yang digunakan suspek ketika sidang media di sini hari ini. - Foto Farhan Najib

IPOH: Polis menembak mati dua penjenayah selepas mengejar kereta dinaiki suspek hingga ke Jalan Sungai Kroh menghala ke Kampung Gajah di Tapah, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 42 dan 62 tahun ditembak anggota pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak yang ditubuhkan bagi mengesan mereka selepas dipercayai terbabit dalam kes rompakan dan tembak di Ipoh pada Jumaat lalu.

Dua suspek itu dikesan dalam kereta di sekitar kawasan Tapah kira-kira jam 5 pagi tadi dan berlaku berbalas tembakan dengan seorang pegawai polis yang memakai baju kalis peluru turut terkena dua das tembakan tetapi tiada kecederaan serius.

DATUK Osman Salleh (dua dari kiri) menunjukkan kesan tembakan pada jaket keselamatan polis ketika sidang media di sini hari ini. - Foto Farhan Najib
DATUK Osman Salleh (dua dari kiri) menunjukkan kesan tembakan pada jaket keselamatan polis ketika sidang media di sini hari ini. - Foto Farhan Najib

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui sepucuk pistol jenis Revolver .22 dengan empat peluru dan dua kelongsong serta sebilah parang.

"Dua suspek itu dikenali sebagai Wong Chun Ming, 42, yang memiliki 11 rekod jenayah dan rakannya, Lee Yoke Kong, 62, yang memiliki 15 rekod jenayah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi rakan suspek sudah ditahan sebelum ini dan dengan tumpasnya kumpulan itu, kes rompakan di Ipoh itu berjaya diselesaikan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X