PJ Rangers tubuh akademi bola sepak

Khamis, 14 Disember 2017 @ 11:00 PM
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (tiga dari kanan) mahu PJ Rangers menjadi 'kilang' mengeluarkan pemain profesional bertaraf antarabangsa pada masa depan. - Foto Qamaruzzaman Mohd Zain

KUALA LUMPUR: Kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) akan menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang dijangka menjadi 'kilang' mengeluarkan pemain profesional bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Serentak dengan itu, kelab berkenaan akan melantik bekas jurulatih skuad bawah 20 tahun England, Christopher Ramsey yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Queens Park Rangers (QPR) untuk menerajuinya.

Pemilik PJ Ramgers, Tan Sri Tony Fernandes, berkata penubuhan akademi itu

dijangka membantu kelabnya melahirkan pemain muda berbakat yang bukan hanya mahu gaji lumayan, malah setia dan sanggup bekerja keras untuk kelab.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia),

percaya kehadiran Ramsey mampu membantu melahirkan ramai pemain profesional seperti dilakukan ketika berkhidmat dengan Tottenham Hotspur dan QPR.

"Saya percaya Chris yang akan datang ke Malaysia mulai bulan depan mampu mengulangi kejayaan melahirkan ramai pemain berbakat apabila membimbing pelatih kelab PJ Rangers nanti sama seperti dilakukannya ketika bersama Tottenham Hotspur dan QPR, sebelum ini.

"Malah, saya difahamkan beliau memang sangat teruja untuk mengendalikan sebuah akademi bola sepak bertaraf dunia dan ini adalah antara perkara penting bakal dilaksanakan oleh PJ Rangers nanti," katanya.

Fernandez berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara AirAsia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menaik taraf Stadium MBPJ di Kelana Jaya di sini.

Ia bagi membolehkan stadium berkenaan digunakan sebagai gelanggang perlawanan di laman sendiri bagi PJ Rangers mulai musim 2018.

Pada majlis berkenaan, AirAsia diwakili Fernandez sendiri, manakala MBPJ diwakili oleh Datuk Bandar PJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan MBPJ untuk mengenal pasti lokasi sesuai di sini untuk membangunkan akademi bola sepak berkenaan.

"Kita sedang bekerja keras untuk menghantar kertas cadangan penubuhan akademi bola sepak PJ Rangers kepada Datuk Bandar PJ dan berharap penubuhan dapat direalisasikan tidak lama lagi.

"Kita berharap penubuhan akademi berkenaan membolehkan anak muda di Malaysia terutama di Petaling Jaya mengasah bakat dan berpotensi mereka untuk diangkat sebagai pemain bola sepak bertaraf antarabangsa, pada masa depan," katanya.