Isnin, 23 Februari 2015 | 10:46pm

Chelsea buat rayuan kad merah Matic

Pemain tengah Chelsea, Nemanja Matic (dua dari kanan) diarah keluar padang selepas menerima kad merah pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley di Stamford Bridge, London baru-baru ini. - Foto AFP

LONDON: Chelsea akan membuat rayuan ke atas kad merah dilayangkan kepada Nemanja Matic ketika seri 1-1 dengan Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu, menurut Sky Sports.

Matic dibuang padang pada minit ke-70 di Stamford Bridge atas 'tindak balas ganas' selepas diasak oleh pemain Burnley, Ashley Barnes.

"Satu rempuhan bersifat jenayah. Matic bernasib baik," kata pengurus Chelsea, Jose Mourinho selepas pemain tengah itu berjaya elak daripada menanggung kecederaan.

Pemain Serbia berusia 26 tahun itu meluru ke arah Barnes dan menolaknya ke lantai tetapi pengurus pasukan tampil mempertahankan tindakan anak buahnya itu.

"Bola sepak adalah mengenai emosi dan jelas sekali Nemanja Matic ada sebab untuk gagal mengawal emosinya," kata Mourinho.

Chelsea harus mengemukakan rayuan kepada FA esok dan jika gagal, Matic akan terlepas aksi final Piala Liga menentang Tottenham Hotspur di Wembley, Ahad ini.

Dia juga akan digantung untuk perlawanan EPL menentang West Ham United dan Southampton. - AFP

Berita Harian X