Khamis, 26 Februari 2015 | 8:37pm

Najib dihadiahkan Kek Lapis Sabok Tun Razak


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencuba kek lapis keluaran Mira Cake House ketika melakukan lawatan 'walkabout' di Kampung Gersik di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

PETRA JAYA: Kek Lapis Sabok Tun Razak antara juadah istimewa yang dihidangkan khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika bertemu rakyat di Kampung Gersik, di sini petang tadi.

Dinamakan sempena nama ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein, kek lapis dengan adunan coklat, oat, kaya dan Horlicks mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan.

Najib kelihatan terharu dengan pemberian kek berkenaan, begitu juga sambutan diberikan penduduk setempat yang menyambut ketibaan beliau di kampung berkenaan, antara penempatan tradisi di kawasan tebing Sungai Sarawak.

Pengusaha Mira Cake House, Ahmad Budiyaman Fauzi, berkata pihaknya berbangga diberikan peluang menyiapkan kek berkenaan, lebih-lebih lagi untuk dihadiahkan kepada pemimpin tertinggi negara.

"Kami dimaklumkan pada saat-saat akhir Mira Cake House antara yang akan dilawati Perdana Menteri sempena Program Walkabout dan ia cukup mengujakan.

"Bagi merakamkan kenangan itu, kami menghasilkan kek lapis Sabok Tun Razak untuk dihadiahkan kepada beliau yang dibuat menggunakan kaedah tradisi," katanya.

Terdahulu, Najib yang diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, bersama Menteri Perumahan Dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg turut meluangkan masa menyusuri Sungai Sarawak dari Tebingan Kuching menggunakan perahu tambang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama lebih 1,000 penduduk menyambut ketibaan beliau di Jeti Kampung Gersik.

Selain terkenal sebagai penempatan tradisi, Kampung Gersik turut dikenali sebagai pusat pengeluaran kek lapis terbesar di Kuching, selain menjadi destinasi tumpuan pelancong.

Berita Harian X