Sabtu, 28 Februari 2015 | 1:22pm

White Love gabung empat pereka fesyen tanah air

KUALA LUMPUR: Malam tadi pertunjukan fesyen perkahwinan bertemakan White Love menampilkan gabungan empat pereka fesyen tanah air, LyndaRahim KL, Wanpa, Najeeb Azami dan Ashraff Zainal berlangsung meriah dihadiri selebriti tanah air di Kompleks Sukan Bangsar.

Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Nora Danish, Hanez Suraya, Fouziah Gous, Marsha, Nad Zainal, Kilafairy, Diana Rafar dan Sherry Ibrahim antara artis tanah air yang hadir. Supermodel terkemuka, Tengku Azura juga turut kelihatan.

White Love mempersembahkan empat rekaan fesyen tanah air yang masing-masing mempunyai tema tersendiri. Ashraf Zainal menghimpunkan rekaan perkahwinan mereka di bawah nama Sakura Sky Of Love.

LyndaRahim KL pula dengan Enchanted, Wanpa (My Best Friend's Wedding) dan Najeeb Azami (Endless Love). Najeeb antara jurusolek selebriti tanah air yang turut mengembangkan sayapnya sebagai pereka fesyen.

Sherry Ibrahim yang ditemui sebenarnya cukup akrab dengan Najeeb Azami. Keduanya pernah bertugas di awan biru suatu ketika dulu.

"Sepanjang bergelar anak seni, Najeeb Azami antara jurusolek yang selalu menata rias wajah saya. Kini selepas beberapa tahun, dia bergelar pereka fesyen pula. Semestinya sebagai kawan, saya berbangga dengan pencapaiannya. Saya juga hadir memberi sokongan kepada Wanpa," katanya.

Nad Zainal pula menyifatkan perkembangan fesyen tanah air patut dibanggakan dengan kehadiran pereka baru.

"Jika di luar negara, jenama terkemuka di arena fesyen sudah gah dan tak perlu diperkenalkan lagi. Malaysia juga boleh kerana pereka fesyen kita juga mempunyai kreativiti dan imaginasi tersendiri," katanya.

Sementara itu Marsha yang ditemui yakin sesiapa saja terutama golongan wanita cukup teruja menyaksikan rangkaian fesyen perkahwinan.

"Daya imaginasi wanita termasuk saya apabila bercakap soal gaun perkahwinan boleh jadi luar biasa. Umpamanya kalau melihat model menyarung serta memperaga busana kahwin seperti diri sendiri yang berada di pentas peragaan itu," seloroh Marsha.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X