Isnin, 2 March 2015 | 2:52pm

STPM 2014: Prestasi keseluruhan meningkat - MPM

KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2014 menyaksikan peningkatan pencapaian calon dalam semua kriteria pengukuran pencapaian calon dalam peperiksaan.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, kriteria berkenaan adalah dari segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara, peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49, peratus calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran, peratus lulus penuh dan penurunan peratus calon gagal.

"PNGK negara dalam peperiksaan STPM 2014 meningkat kepada 2.62 daripada 2.57 pada STPM tahun 2013.

"Min PNGK sekolah kerajaan meningkat daripada 2.55 pada tahun 2013 kepada 2.62 pada peperiksaan STPM 2014," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2014 di sini, hari ini.

PNGK 4.00 bagi STPM 2014 meningkat kepada 0.91 peratus atau 390 calon berbanding 0.89 peratus atau 492 calon pada STPM 2013.

Mohd Noh berkata, walaupun peratusan calon pada PNGK meningkat, bilangan calon mengikut PNGK bagi 2014 berkurangan berbanding 2013 disebabkan kemerosotan bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki STPM 2014.

"Peratusan calon yang mendapat PGNK 3.50 ke atas juga meningkat kepada 9.09 peratus atau 3,895 calon berbanding 8.18 peratus atau 4,516 calon dalam STPM 2013.

"Peningkatan peratusan juga telah ditunjukkan pada PNGK antara 2.00 hingga 3.49 iaitu kepada 73.85 peratus atau 31,647 calon berbanding STPM 2013," katanya.

Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima hingga satu mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan 0.96 peratus iaitu 97.81 peratus atau 41,915 calon berbanding 96.85 peratus atau 53,494 calon pada tahun 2013.

Bagi lulus penuh dalam empat mata pelajaran mendapat peratusan tertinggi tahun ini iaitu 63.80 peratus atau 27,342 calon.

"Sebanyak 10 calon yang mengambil lima mata pelajaran mendapat gred A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, berbanding lapan calon pada 2013.

"Manakala bilangan calon yang gagal menunjukkan penurunan iaitu hanya 57 calon (0.13 peratus) berbanding 112 calon (0.20 peratus) pada STPM 2013," katanya.

Sementara itu, Mohd Noh yang juga Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia berkata, daripada 23 mata pelajaran yang ditawarkan, 10 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Geografi, Ekonomi, Matematik Lanjutan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Kimia.

Dua mata pelajaran mengalami penurunan prestasi lulus penuh iaitu Kesusasteraan Inggeris dan Biologi manakala 11 lagi mata pelajaran tidak berubah prestasinya.

Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar bandar didapati semakin mengecil dengan min PNGK calon bandar ialah 2.64 berbanding min PNGK luar bandar 2.54. -BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X