Isnin, 2 March 2015 | 5:48pm

Ibu bapa pelajar ditahan mahu sertai IS belum sedia terima kaunseling

PUTRAJAYA: Ibu bapa pelajar perempuan yang ditahan kerana cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria, masih belum bersedia untuk menerima perkhidmatan kaunseling, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berjumpa dengan ibu bapa pelajar berkenaan tetapi mereka enggan menjalani perkhidmatan kaunseling kerana menganggap perkara yang terjadi itu sesuatu yang peribadi.

"Kementerian berjumpa kerana ingin mencari jalan untuk mengatasi trauma yang dihadapi, tetapi, kami tidak memaksa mereka dan akan mengikuti kehendak mereka.

"Lagipun, kes ini masih di bawah siasatan polis. Namun, apa-apa pun, kita tunggu. Apabila ibu bapa bersedia dan memerlukan kaunseling, pintu kementerian sentiasa terbuka dan kami ada di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM150,000 daripada Colgate-Palmolive Malaysia bersempena kempen 'Mari Beramal Bersama Colgate' yang akan diberikan kepada 15 buah rumah kebajikan di bawah penyeliaan JKM, di sini hari ini.

Pada 17 Februari lalu, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai cuba menyertai kumpulan militan IS.

Mengambil contoh kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Rohani berkata keluarga penumpang juga pada awalnya memarahi wakil-wakil JKM namun selepas beberapa bulan, mereka menghubungi kementerian untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

"Kemungkinan ibu bapa pelajar itu takut untuk bercakap dengan kaunselor dan menganggap perkara yang akan dibincang nanti akan digunakan terhadap mereka memandangkan kes masih disiasat polis," katanya.

Rohani juga menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau perkembangan anak-anak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang hasutan luar, yang hanya merosakkan masa depan mereka. - BERNAMA

30 dibaca
Berita Harian X