Selasa, 3 March 2015 | 10:18pm
CALON daripada SMJK Jit Sin Bukit Mertajam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, Suraya Salim, 18, (tengah) dicium tahniah daripada bapa Salim Embi, 55,dan ibu Siti Zubaidah Abdul Hamid ketika pengunguman keputusan peperiksaan SPM di SMJK Jit Sin Bukit Mertajam di sini. - Foto Danial Saad

Suraya Salim cemerlang duduki SPM di SMJKC

BUKIT MERTAJAM: Menjadi pelajar Melayu tunggal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Jit Sin di sini, tidak menghalang Suraya Salim, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Suraya berkata, dia tidak pernah berasa terasing, malah jurang kaum dan bahasa langsung tidak pernah wujud sejak memasuki tingkatan satu di sekolah berkenaan.

Dia yang memperoleh keputusan 6A+, 3A dan 1C bercita-cita untuk menjadi peguam berkata, selain memberi tumpuan dalam kelas, dia mengamalkan solat tahajud dan puasa untuk memudahkannya menjawab soalan peperiksaan.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia sering meminta bantuan rakan karibnya, Agness Goh dan Ooi Shi Ji untuk mempelajari dan menguasai bahasa Cina.

"Sejak tadika, ibu bapa saya sudah menghantar ke sekolah yang dipenuhi rakan berbangsa Cina dan saya juga bersekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Bin, di sini, sebelum menyambung pelajaran di sekolah ini.

"Tambahan pula, kami lima beradik termasuk abang sulung yang berusia 26 tahun dan adik yang masih di tingkatan empat turut bersekolah di sekolah ini," katanya ketika ditemui di SMJKC Jit Sin di sini, hari ini.

Beliau yang berasal dari Permatang Pauh berkata, walaupun mendapat C dalam mata pelajaran Bahasa Cina, dia tidak berasa kecewa kerana masih berjaya mencatat keputusan yang baik.

Sementara itu, rakannya, Lai Cai Xuan, 18, berkata dia bangga kerana memperoleh keputusan cemerlang 10A+ dan berharap dapat menyambung pengajian di univeriti tempatan.

Beliau yang bercita-cita menjadi jurutera komputer berkata, tumpuan di dalam kelas selain mengamalkan masa tidur yang cukup adalah rahsia kejayaannya.

"Saya percaya tumpuan di dalam kelas lebih penting berbanding belajar sendiri dalam tempoh masa lama. Selain itu, saya akan pastikan mendapat rehat dan tidur mencukupi iaitu antara enam hingga tujuh jam sehari," katanya.

Tan Wee Loong, 18, berkata, dia bangga dapat mencapai keputusan cemerlang 8A 2B dalam SPM walaupun berhadapan masalah kesihatan selepas menjalani pembedahan di kepala beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, pembedahan itu menyebabkan berlaku gangguan pada sarafnya sehingga dia sukar untuk menulis.

"Namun, saya tetap kuatkan semangat dan kekurangan yang ada pada diri saya jadikan cabaran dan saya bangga dengan keputusan ini," katanya.

Berita Harian X