Rabu, 4 March 2015 | 10:49pm

20 pemain futsal tersenarai latihan pusat kebangsaan

KETUA jurulatih, Marcelo Serpa Coelho. - Foto ihsan laman web futsalmalaysia.com
KETUA jurulatih, Marcelo Serpa Coelho. - Foto ihsan laman web futsalmalaysia.com

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih, Marcelo Serpa Coelho menyenaraikan 20 pemain untuk menjalani latihan pusat kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2015 dan beberapa perlawanan persahabatan.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini, semua 20 pemain berkenaan perlu melaporkan diri kepada Coelho di Wisma FAM, Kelana, Jaya pada 17 Mac ini.

Latihan pusat selama seminggu itu akan diadakan di Wisma FAM dan Kompleks Sukan Negara, Seksyen 21, Shah Alam.

Menurut FAM, skuad futsal negara dijangka menyertai beberapa perlawanan di Thailand pada bulan depan dan di Jepun pada September ini selain menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di New Zealand, Julai ini.

Perlawanan persahabatan dan kejohanan jemputan itu adalah antara persiapan bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFF 2015 di Jakarta dari 8 hingga 18 Oktober ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Timor Leste, Brunei, Indonesia, Singapura dan juara bertahan Thailand, manakala saingan kumpulan B pula membabitkan lima pasukan iaitu Australia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina.

INFO

Senarai 20 pelatih

Ahmad Fawzul Hadzir, Saiful Nizam Mohamad Ali, Qaiser Heshaam Abdul Kadir, Muhammad Fitri Muhamad Yatim, Muhammad Akmal Yazadh Amri (FELDA United); Saiful Aula Ahmad, Mohd Khairul Effendy Mohd Baharin (Selangor)

Mohd Fahmi Abdul Shatar, Mohamad Adni Abdul Hadi, Mohd Azrol Mohamad Hairun (Melaka), Amar Ashraf Abu Bakar, Mohd Shahmi Abdullah Sani (Kedah)

Mohd Firdaus Razali, Muhammad Syamsul Akmar Zamri, Muhammad Afif Asyraf Muhd Halil (Selangor MPSJ); Mohd Faisal Saharudin, Mohd Noor Azrin Adnan (KL MK); Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang); Mohammad Firdaus Abd Mukti (Sabah); T Maheswaran (Sabah Quilmes Ambush).

Berita Harian X