Khamis, 5 March 2015 | 1:59pm

Saham TNB susut susulan keputusan Integrax

KUALA LUMPUR: Harga saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bursa Malaysia menyusut dalam dagangan awal hari ini selepas jemaah lembaga Integrax mencadangkan agar pemegang saham menolak tawaran disemak semula pada RM3.25 oleh syarikat utiliti negara itu.

Setakat 11.14 pagi, kaunter saham mewah itu jatuh 10 sen kepada RM14.62 dengan 2.19 juta saham bertukar tangan.

Laporan media semalam memetik Integrax sebagai menyatakan pemegang saham utama syarikat, Amin Halim Rasip, mengesahkan beliau menolak tawaran disemak semula itu.

Menurutnya, nilai asas dikemas kini sesaham Integrax pada RM3.60 ke RM3.66 sesaham kekal pada premium 10.8 peratus ke 12.6 peratus berbanding harga tawaran disemak semula.

Integrax telah mempertimbangkan perincian tawaran disemak semula serta penilaian dan cadangan oleh M&A Securities Sdn Bhd, penasihat bebas yang dilantik olehnya.

- BERNAMA

Berita Harian X