Khamis, 5 March 2015 | 5:15pm

18 nelayan asing ditahan APMM di perairan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 18 nelayan asing termasuk seorang tekong diberkas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu ketika menangkap ikan di perairan Terengganu semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9, Laksamana Pertama Maritim Xavier Thevandas, berkata kesemua nelayan warga Vietnam itu ditahan ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi pada jarak 52 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Katanya ketika ditahan, kesemua nelayan yang berusia antara 14 hingga 50 tahun didapati menggunakan bot nelayan tempatan.

"Hasil siasatan awal, kita dapati 13 daripada mereka ini termasuk tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Siasatan lanjut ke atas awak-awak juga kita dapati empat daripada mereka ini masih di bawah umur sekitar 14 hingga 17 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati permit kerja yang dikemukakan telah tamat tempoh pada hujung tahun lepas.

Justeru kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen Perikanan Malaysia.

Xavier berkata ini adalah tangkapan kedua membabitkan bot tempatan menggunakan khidmat nelayan asing dalam tempoh satu minggu.

Katanya, pihak APMM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Terengganu bagi memastikan nelayan-nelayan sentiasa mematuhi undang-undang perikanan di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X