Jumaat, 6 March 2015 | 1:02am

Saudi gesa AS terajui serangan darat terhadap IS

JOHN Kerry (kiri) dan Putera Saud al-Faisal dalam sidang media bersama di Riyadh. -Foto EPA

RIYADH: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal menggesa tentera bersekutu diterajui Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq, untuk memulakan serangan darat.

Arab Saudi yang turut sama dengan pasukan bersekutu menekankan keperluan melengkapkan tentera untuk berhadapan IS di darat, kata Saud dalam sidang media bersama Setiausaha Negara AS, John Kerry.

Selain Saudi, beberapa negara Arab lain turut menyertai serangan udara menentang IS.

Presiden Barack Obama yang tidak mahu perang besar-besaran di darat menyokong serangan udara tetapi menolak kemungkinan menghantar pasukan infantri.

Mengikut Saud, negaranya juga bimbang dengan peningkatan peranan Iran di Iraq, dengan menuduh negara Syiah itu mengambil alih Iraq menerusi bantuan yang dihulurkan untuk menentang IS.

"Tikrit adalah contoh utama apa yang kami bimbangkan. Iran mengambil alih negara itu," kata Saud.

Arab Saudi yang bermazhab Sunnah sentiasa bimbang dengan rancangan Iran di rantau Teluk. - AFP

Berita Harian X