Jumaat, 6 March 2015 | 9:46pm

TNB yakin ambil alih Integrax

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) yakin dapat memiliki baki saham dalam Integrax Bhd, sekali gus menguasai syarikat itu pada harga tawaran yang dinaikkan kepada RM3.25 sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Ir Azman Mohd, berkata TNB tidak akan berganjak dengan tawaran yang disemak semula kepada RM3.25 sesaham untuk mengambil alih Integrax Bhd dan yakin tawaran itu akan diterima baik oleh pemegang saham pengendali pelabuhan itu.

Syarikat utiliti elektrik terbesar negara itu yang kini mempunyai 23 peratus pegangan dalam Integrax, pemilik dan pengendali Pelabuhan Lumut, menyasar untuk memiliki baki 77 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

TNB sudah menaikkan harga tawaran itu kepada RM3.25 sesaham pada 25 Februari daripada tawaran asal RM2.75 sesaham.

Azman berkata, tawaran RM3.25 sesaham itu adalah adil dan menyediakan peluang kepada pemegang saham Intergrax peluang untuk keluar daripada pelaburan mereka dengan pulangan yang lumayan.

Katanya, sejak loji tenaga Janamanjung TNB mula beroperasi pada 2003, TNB adalah pelanggan utama Lekir Bulk Terminal (LBT).

"Bekalan arang batu kami untuk loji tenaga Janamanjung datang menerusi jeti terminal LBT dan disimpan di gudang penyimpanan kami sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini bagi memberi rasional tawaran pengambilalihan itu.

Pelabuhan Lumut mengandungi dua terminal iaitu LBT, terminal pukal kering arang batu yang dimiliki oleh Lekir Bulk Terminal Sdn Bhd, anak syarikat 80 peratus milik Integrax, adalah pembekal tunggal perkhidmatan pengendalian dan penghantaran arang batu bagi loji kuasa Janamanjung TNB.

Terminal lain adalah Terminal Maritim Lumut (LMT) yang mengendalikan pukal kering dan cecair.

Loji tenaga Janamanjung TNB adalah satu daripada loji kuasa arang batu yang terbesar di Malaysia dengan penggunaan arang batu tahunan dianggarkan sekitar tujuh juta tan untuk penjana kuasa bagi tiga penjana kuasa berkeupayaan 700 Megawat (MW).

Azman berkata, mengambil alih pelabuhan itu adalah sangat bersesuaian sekali untuk TNB kerana ia adalah sebahagian daripada rangkaian infrastuktur penjanaan kuasa Janamanjung milik syarikat.

"Apabila peluang ini muncul pada 2011, TNB sudah membeli pegangan permulaannya dalam operasi pelabuhan. Dengan pembelian seterusnya 22.12 peratus pegangan, kami beralih daripada menjadi pelanggan utama kepada pemegang saham utama," katanya sambil menambah TNB sudah menjadi pelanggan utama Integrax sejak 12 tahun lalu.

Berita Harian X