Sabtu, 7 March 2015 | 12:02am
PENYANYI, Hafiz Suip. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Hafiz tidak dibenar menyanyi?


REAKSI Hafiz Nor Azman ketika menaiki podium perlumbaan.

KUALA LUMPUR : Penyanyi Hafiz Suip menafikan dakwaan yang mengatakan dia tidak dibenarkan menyanyi kerana kecederaan tulang belakang (slipped dics) dan ia memberi impak kepada suaranya.

"Janganlah tutup punca rezeki saya dengan mengatakan saya tidak boleh menyanyi lagi. Doktor masih memberikan kebenaran untuk saya menyanyi namun tidak boleh bergerak terlalu aktif dan sebagainya ketika membuat persembahan.

"Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberi peluang kepada saya walaupun saya berada dalam keadaan kesakitan namun masih diberikan kekuatan untuk terus memperjuangkan kerjaya saya," kata Hafiz kepada BH Online baru-baru ini.

Jejaka kelahiran Bumi Kenyalang itu akur apabila perlu menjalani rawatan fisioterapi selama setahun di sebuah hospital swasta di Subang Jaya akibat kecederaan pada bahagian tulang belakangnya bulan lalu.

Hafiz, 25, berkata, biarpun kecederaan tersebut sudah pun pulih namun dia masih perlu melakukan rawatan itu serta menjaga tindak tanduk bagi memastikan masalah sama tidak berulang.


PENYANYI, Hafiz Suip. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Dalam jangka masa setahun ini saya akur berulang alik ke hospital demi kesihatan saya. Namun kepada anda di luar sana jangan serik untuk memanggil saya untuk menyanyi kerana kecederaan adalah di belakang dan tidak memberi kesan kepada suara saya," kata Hafiz sambil tergelak.

Hafiz yang baru saja mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu dengan Nureffy Jasreel Abdullah, 22, tidak bersetuju apabila ada pihak yang mengatakan bahawa popularitinya akan jatuh kerana akan berkahwin.

"Apa yang saya buat adalah untuk kebaikan diri saya sendiri juga. Keputusan berkahwin diambil tidak bermakna populariti saya akan jatuh, kerana bagi saya membina rumah tangga adalah satu perkara yang sangat baik dan sebagai artis kami akan sentiasa menjadi milik peminat.


AKSI perlumbaan membabitkan Hafiz Nor Azman (jentera no99) ketika perlumbaan Cub Prix di Temerloh, Pahang pada 2013.

"Perkahwinan bermaksud mulalah kehidupan baru saya. Saya juga sedang melatih diri untuk menjadi lebih matang dan bertanggungjawab untuk membimbing isteri saya nanti," kata Hafiz.

Selain itu, Hafiz berpendapat bahawa dengan cara memperkenalkan bakal isterinya secara terbuka di laman sosial seperti Instagram, mungkin akan membuatkan peminat lebih ingin mengenali wanita yang berjaya mencuri hatinya itu.

Berita Harian X