Sabtu, 7 March 2015 | 1:28pm

Agong yakin KUIN capai taraf universiti penuh

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

BALING: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk mencapai taraf universiti penuh dalam tempoh masa terdekat.

Malah, baginda turut yakin KUIN selaku kolej universiti milik kerajaan negeri yang kini di bawah kepimpinan Rektornya, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim, mampu dijulang ke tahap yang lebih tinggi.

"Beta gembira melihat kemajuan dan perkembangan KUIN sekarang...Beta yakin KUIN akan menjadi lebih berdaya saing dan mampu meningkatkan bilangan pelajar ke tahap yang optimum di masa akan datang," titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen KUIN Ke-16 di sini, pagi ini.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, turut menyaksikan pemasyhuran Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, selaku Pro Canselor 1 KUIN yang baharu.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, baginda ketika titah sama menyeru semua graduan supaya bersama-sama menjadikan Kedah sebagai gedung keilmuan ke arah melahirkan modal insan yang berpandukan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

"Beta menyeru semua warga KUIN supaya bersungguh-sungguh bagi mencapai segala matlamat yang dirancang dan berharap KUIN dapat memberi nafas baru kepada penerokaan ke arah kebijaksanaan ilmu duniawi dan ukhrawi," titah baginda.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 85 graduan menerima ijazah masing-masing terdiri graduan Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana pada sidang pertama yang menyaksikan semalam manakala 1,253 graduan bakal menerima ijazah dan diploma ada sidang kedua yang berlangsung sebelah petang.

Berita Harian X