Sabtu, 7 March 2015 | 10:25pm
JALAN raya menjadi sesak akibat peserta perhimpunan #KitaLawan berarak di sekitar ibu kota. - Foto BERNAMA

ATM nafi kenderaannya angkut peserta #KitaLawan

 

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kenderaan pasukan pertahanan itu digunakan untuk mengangkut peserta perhimpunan #KitaLawan seperti yang tersebar di laman sosial, hari ini.

  Menerusi satu kenyataan sebentar tadi, ATM menegaskan kenderaan awam bernombor pendaftaran KDV 6929 yang tertera perkataan 'FERI SEKOLAH ATM' itu sebenarnya adalah milik sebuah syarikat swasta.

  Kenderaan itu sebenarnya digunakan untuk menyediakan perkhidmatan feri sekolah untuk anak warga ATM dari kuarters ke sekolah di sekitar Kuala Lumpur pada waktu persekolahan saja.

"ATM juga ingin menegaskan bahawa tiada arahan diberikan kepada syarikat terbabit untuk mengangkut peserta perhimpunan berkenaan," kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan ATM, syarikat itu sudah dihubungi dan mengesahkan ia disewa orang awam dan bukan di bawah kawalan ATM.

"Kita sudah mengarahkan syarikat terbabit memberi penjelasan rasmi berserta laporan berhubung kejadian itu yang mencemarkan imej ATM.

"ATM juga akan mengkaji semula langkah-langkah dan tindakan susulan," kata kenyataan itu lagi.

ATM  sekali lagi ingin menegaskan kejadian yang disebarkan tiada kena mengena dengan ATM dan menyeru masyarakat umum supaya tidak mempercayai penyebaran palsu yang mengaitkan ATM.

BERNAMA melaporkan tidak sampai 3,000 menyertai perhimpunan 'syok sendiri' yang menyusahkan orang ramai bersantai pada hujung minggu. Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak di sekitar ibu kota di tiga kawasan iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS di sini dan bertemu di kompleks membeli-belah Sogo bermula 3 petang tadi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X