Sabtu, 7 March 2015 | 10:37pm

#KitaLawan: Ketua AMK Kelana Jaya ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli di Masjid Jamek di sini berhubung perhimpunan #KitaLawan di perkarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi BH, mengesahkan penangkapan pemimpin AMK berkenaan.

"Dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk membantu siasatan.

"Saifullah akan disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan yang tidak sah di sisi undang-undang, serta Akta Perhimpunan Aman 2012 ," katanya tetapi tidak menjelaskan butiran tangkapan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata dianggarkan kira-kira 2,000 peserta menyertai perhimpunan itu yang berakhir pada jam 6.15 petang.

"Walaupun berlaku sedikit kesesakan lalu lintas ketika peserta berarak dari Sogo sebelum mereka berhimpun pula di KLCC, perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Anggota kita daripada pasukan trafik turut membantu mengawal lalu lintas.

"Mengenai beberapa bunyi letupan ketika perhimpunan berlangsung, setakat ini siasatan menunjukkan ia datang daripada mercun dibakar pihak tertentu yang mungkin mahu menimbulkan suasana panik, kita sedang mengesan pelaku," katanya.

Perhimpunan itu yang diadakan pada jam 3 petang dengan peserta berarak dari tiga kawasan iaitu di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Masjid Jamek dan Pasar Seni menuju ke Sogo.

Pada jam 5 petang kumpulan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu Tin Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menuju ke KLCC berikutan berlaku kesesakan lalu lintas di Sogo.

Berita Harian X