Ahad, 8 March 2015 | 12:19pm

Dua dibebaskan tuduhan miliki 23.6 gram heroin

TERTUDUH, See Boon Chin (kanan, baju biru) bersama Lee Chia Yoong dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini melepas dan membebaskan dua lelaki daripada pertuduhan memiliki 23.6 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines, yang didakwa dilakukan mereka pada 31 Oktober 2012 lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, selepas mendapati timbul keraguan munasabah dalam pembelaan terutama berhubung fakta pemilikan dadah oleh tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh, See Boon Chin, 33 dan Lee Chia Yoong, 39, melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 petang 31 Oktober 2012 dengan memiliki 23.6 gram dadah membabitkan 19.9 gram heroin dan 3.7 gram monoacetylmorphines di sebuah rumah di Taman Samudera, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nuur Hafiedzah Md Daud, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Berita Harian X