Selasa, 10 March 2015 | 12:20pm
MENTERI Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali

Pelanggaran empat syarat dalam Perjanjian Utama - MB

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mendakwa kegagalan untuk melaksanakan Perjanjian Utama penstrukturan semula air dikatakan berikutan pelanggaran empat syarat dalam perjanjian berkenaan.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi, berkata, Perjanjian Utama bagi pengstrukturan semula industri air Selangor lupus dengan sendirinya akibat pendirian terkini Kerajaan Persekutuan yang enggan menghormati prinsip dan semangat Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 September 2014.

Katanya, Kerajaan Persekutuan antara lain enggan mengiktiraf pemilikan aset air Selangor berjumlah RM 14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ("Air Selangor").

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan juga dikatakan tidak mengiktiraf dan menerima pemindahan RM 2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada Air Selangor bagi mengambilalih ke semua konsesi air di Selangor.

Dua lagi syarat dalam Perjanjian Utama yang dikatakan tidak dihormati Kerajaan Persekutuan ialah tidak mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki aset air yang dimiliki oleh Air Selangor selain keengganan Kerajaan Persekutuan meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan antara Pengurusan Aset Air Berhad ("PAAB") dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.

Berita Harian X