Rabu, 11 March 2015 | 6:36pm

Bank mampu tampung kemungkiran serentak hutang isi rumah


ZETI menunjukkan buku Laporan Tahunan BNM 2014 pada sidang media Laporan Tahunan 2014 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2014 di Bank Negara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Kedudukan tahap hutang isi rumah di negara ini kekal dalam keadaan terkawal dan tidak menjejaskan kestabilan sistem kewangan, walaupun isu berkenaan sering dibangkitkan oleh penganalisis antarabangsa.

Mengikut Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa siri langkah yang diperkenalkan sejak 2010 untuk mengawal peningkatan hutang isi rumah yang berlebihan, terus memberikan kesan positif seperti yang disasarkan.

Berdasarkan ujian tekanan terhadap bank tempatan, anggaran potensi kerugian kepada bank jika berlaku kegagalan pembayaran secara serentak, masih boleh ditampan oleh sektor perbankan negara.

"Anggaran potensi kerugian kepada bank jika berlaku insiden kemungkiran serentak hutang isi rumah berjumlah kira-kira RM39 bilion. Ini masih dalam lingkungan penampan lebihan modal sebanyak RM97.4 bilion yang dipegang oleh bank.

"Kemungkinan kerugian ini tidak mengambil kira simpanan yang ada dan penampan kewangan isi rumah individu atau respons bank untuk menangani senario sedemikian," kata bank pusat itu dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2014 yang dikeluarkan hari ini.

Mengikut BNM, pertumbuhan hutang isi rumah menjadi sederhana sepanjang dua tahun berturut-turut, disokong penurunan berterusan dalam pembiayaan peribadi oleh pemberi pinjaman bukan bank.

Jumlah hutang isi rumah mengekalkan trend sederhana sejak dua tahun lalu dan meningkat 9.9 peratus kepada RM940.4 bilion pada akhir 2014.

Ini selaras dengan penilaian yang bertambah baik oleh bank dan Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB) berhubung kelayakan peminjam untuk mengambil hutang tambahan.

"Kedudukan agregat kewangan isi rumah yang kukuh terus menyokong keupayaan membayar balik hutang keseluruhan dalam keadaan guna tenaga dan pendapatan yang stabil," kata bank pusat itu.

Selain itu, kualiti peminjam baharu juga adalah lebih tinggi dengan kira-kira 80 peratus mempunyai nisbah khidmat hutang (DSR) bagi keseluruhan hutang terkumpul yang kurang daripada 60 peratus, manakala separuh daripada pinjaman baharu mempunyai DSR kurang daripada 40 peratus.

BNM berkata, bagi peminjam dengan pendapatan bulanan RM3,000 atau kurang, bahagian pinjaman baharu dengan DSR yang kurang daripada 60 peratus adalah lebih tinggi pada 91.8 peratus berbanding 85.9 peratus pada Julai 2013.

"Ini memberikan penampan dan fleksibiliti yang lebih baik kepada isi rumah untuk menghadapi cabaran kewangan," katanya.

Selain itu, kekukuhan penampan kewangan isi rumah juga dibuat berdasarkan nisbah aset kewangan kepada hutang.

Nisbah berkenaan kekal pada paras melebihi dua kali sepanjang tiga tahun yang lalu, apabila kadar pertumbuhan hutang isi rumah lebih selaras dengan pertumbuhan aset kewangan isi rumah.

Pada tahun 2014, agregat aset kewangan meningkat RM110 bilion, berbanding kenaikan hutang sebanyak RM84.5 bilion.

"Deposit dan instrumen mirip deposit menyumbang kira-kira 57 peratus daripada kenaikan aset kewangan dan mewakili lebih 42 peratus daripada aset kewangan isi rumah.

"Komposisi aset sedemikian yang tinggi memberi isi rumah perlindungan yang selesa dalam menghadapi perubahan pendapatan atau perbelanjaan yang tidak dijangka," katanya.

Dalam laporan tahunannya, BNM membuat kesimpulan bahawa perkembangan dalam sektor isi rumah dijangka tidak akan memberikan sebarang impak besar kepada kestabilan kewangan.

Institusi kewangan pula, katanya, kekal dalam kedudukan cukup baik untuk menyerap sebarang kemungkinan kerugian dalam sektor isi rumah.

Berita Harian X