Jumaat, 13 March 2015 | 1:02am

Rawatan rambut gugur

Soalan:
Kulit kepala saya kerap berkerak dan gatal. Keadaan itu menyebabkan rambut gugur selepas tersilap menggunakan produk. Apakah rawatan melebatkan semula rambut?

Atira Amiruddin
Taman Perling, Johor

Jawapan :
Secara purata, orang dewasa mempunyai 100,000 hingga 150,000 helai rambut. Mereka boleh keguguran rambut kira-kira 100 helai sehari. Jadi, jika rambut gugur ketika menyikat atau mencuci, jangan risau kerana itu perkara normal.


KERAP terasa gatal di kulit kepala

Pertumbuhan berlaku dalam tiga fasa, iaitu;

* Fasa anagen: Fasa penumbuhan aktif dalam jangka masa dua hingga enam tahun.

* Fasa catagen: Fasa rambut berhenti aktif dari jangka hayat dua ke tiga minggu.

* Fasa telogen: Fasa rambut mula berehat dan kemudian gugur. Jangka hayat dua hingga tiga bulan.


RAMBUT mulai gugur

Dalam setiap masa, kira-kira 90 peratus rambut berlaku dalam fasa anagen dan dalam setahun, secara purata rambut kita memanjang sebanyak 15.3 sentimeter. Bagaimanapun, semakin berusia, kadar pemanjangan rambut semakin lambat.

Antara masalah rambut nipis yang kerap dialami oleh wanita ialah:

1. Telogen effluvium: Rambut menipis

Majoriti wanita yang mengalami masalah penipisan rambut disebabkan keadaan yang dinamakan telogen effluvium.


KULIT kepala berkelemumur

Masalah rambut nipis adalah bersifat sementara. Apa yang berlaku sebenarnya, majoriti rambut berhenti memanjang (fasa anagen) dan masuk ke fasa telogen. Ini bermakna rambut secara tiba-tiba berhenti memanjang dan gugur dengan banyak.

Keguguran rambut disebabkan beberapa punca iaitu mengalami tekanan, selepas demam panas, ketika menghidapi sesuatu penyakit dan wanita selepas bersalin.

Rambut akan tumbuh semula jika baru sembuh daripada penyakit. Ambil cukup vitamin dan mineral supaya lebih cepat tumbuh dan melebatkan rambut.

2. Androgenic alopecia


RAMBUT semakin menipis

Masalah rambut menjadi botak ada kaitan dengan genetik. Ia boleh berlaku kepada lelaki atau wanita. Lelaki boleh mengalami masalah ini seawal remaja dan wanita menjangkau 40-an.

Masalah ini lebih kerap dialami oleh lelaki. Mereka yang mewarisi genetik androgenic alopecia, mempunyai folikel rambut sangat sensitif kepada hormon dihydrotestosterone (DHT).

Kesan DHT adalah mengecutkan folikel rambut dan menyebabkan rambut gugur. Androgenic alopecia mempunyai corak botak yang tertentu.

Untuk wanita, androgenic alopecia boleh disebabkan perubahan hormon. Di antara sebabnya adalah ovarian cyst, pil perancang yang mengandungi paras progesteron yang tinggi dan menopaus.

3. Alopecia areata

Ada sesetengah remaja atau dewasa mengalami masalah botak setompok-setompok pada kepala. Keadaan ini boleh menyebabkan rambut terus botak. Bagaimanapun, 90 peratus kes alopecia areata, rambut akan tumbuh semula selepas beberapa tahun.

Rambut juga boleh gugur jika anda mengambil ubat-ubatan seperti allopurinol dan warfarin, penyakit seperti hypothyroid (kekurangan hormon tiroid) dan kekurangan zat besi.

Kembalikan rambut sihat

Jika disebabkan telogen effluvium, maka rawatan tidak diperlukan. Kurangkan tertekan dan rambut akan menebal dengan sendiri selepas beberapa bulan.

Bagaimanapun, anda boleh membuat rawatan laser dan sel stem untuk mempercepatkan rambut tumbuh semula. Ia boleh membantu wanita mengembalikan rambut yang lebih sihat, cantik dan tebal.


RAWATAN rambut boleh dilakukan

Rawatan laser dilakukan satu atau dua kali seminggu dalam tempoh tiga bulan, manakala rawatan sel stem sebanyak tiga hingga lima sesi bagi setiap satu atau dua minggu.

Rambut akan lebih sihat dan cantik. Ia juga boleh memanjangkan fasa anagen, menjadikan rambut lebih panjang dan tebal.

Jika masalah keguguran rambut disebabkan oleh androgenic alopecia, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat antiDHT. Ubat antiDHT ini boleh menghalang hormon DHT daripada merosakkan rambut anda.

Rawatan antiDHT juga perlu dilakukan berterusan kerana apabila rawatan berhenti, rambut akan gugur kembali. Rawatan ini boleh digabungkan dengan laser dan sel stem untuk melambatkan proses keguguran rambut.

Rawatan laser

Rawatan ini mudah dan memakan masa selama 25 minit bagi setiap sesi. Laser yang dipancarkan berjarak gelombang 650 nm dan berupaya merangsang sel rambut agar tumbuh subur. Ia boleh dilakukan antara seminggu hingga dua minggu sekali.

Apabila tenaga foton daripada laser dipancarkan pada rambut, ia diambil oleh sel rambut dan membolehkan sel rambut menyerap tenaga.

Kemudian ia digunakan sebagai tenaga dalaman yang menumbuhkan semula pembuluh darah padanya. Hasil daripada penambahan pembuluh darah yang baharu, sel rambut akan mula berkembang.

dibaca
Berita Harian X