Jumaat, 13 March 2015 | 3:03pm

Jangan ambil mudah daftar kelahiran anak - Wan Junaidi


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA: Jangan ambil mudah isu lewat mendaftar kelahiran anak kerana ia mampu memberi kesan yang besar terhadap masa depan mereka, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menegaskan bahawa pendaftaran kelahiran amat penting untuk anak-anak mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan terutama aspek pendidikan.

Katanya, walaupun kes kelewatan mendaftar kelahiran sering berlaku di kawasan pedalaman namun ada juga ibu bapa di bandar juga lewat mendaftarkan dalam tempoh 42 hari yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kadang-kadang ibu bapa terlalu gembira mendapat anak sehingga lupa jumpa pegawai pendaftaran atau mereka tidak tahu proses pendaftaran, jadi mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendaftar selepas tempoh ditetapkan.

"Jika anak-anak tidak didaftarkan dibimbangi akan menjadi masalah sosial pada masa depan kerana anak itu tidak mendapat pendidikan dan tidak mampu untuk berdikari," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taraf kewarganeraan untuk 15 individu di pejabatnya di sini, hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X