Sabtu, 14 March 2015 | 12:04am

Muhyiddin tiba untuk lawatan ke Jepun

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di hotel penginapan beliau di Tokyo, bagi melakukan lawatan kerja di Jepun selama empat hari bermula hari ini. Turut mengiringi beliau Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris (kanan). - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di hotel penginapan beliau di Tokyo, bagi melakukan lawatan kerja di Jepun selama empat hari bermula hari ini. Turut mengiringi beliau Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris (kanan). - Foto BERNAMA

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini malam tadi bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke Jepun dan menghadiri Persidangan Dunia PBB Ketiga Mengenai Pengurangan Risiko Bencana.

Pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mendarat di Lapangan Terbang Haneda, di sini, kira-kira 11 malam (10 malam waktu Malaysia) dan mereka disambut oleh Duta Malaysia di Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, akan mengetuai delegasi Malaysia pada persidangan itu yang bermula esok di Sendai, kira-kira 380km dari sini.

Beliau menghadiri dua hari persidangan itu atas jemputan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Persidangan lima hari itu bertujuan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman oleh lebih 20 negara peserta mengenai isu semasa berkenaan pengurusan risiko selain bagi menyediakan rangka kerja baharu.

Di luar persidangan hari pertama, Muhyiddin juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Turki, Numan Kurtulmus.

Pada Ahad, Muhyiddin akan menghadiri persidangan meja bulat (pembinaan semula selepas bencana) di Sendai, diikuti menerima kunjungan hormat Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Akihiro Ota.

Persidangan itu diadakan di wilayah Tohokun yang turut menerima kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda dan membawa kepada krisis Fukushima.

Ia adalah lokasi yang sesuai untuk meneruskan langkah ke arah kemajuan selepas ditimpa kemusnahan akibat tsunami pada Januari 2005 yang meragut 227,000 nyawa.

Selain menghadiri persidangan itu, Muhyiddin turut mempunyai beberapa acara lain di Tokyo iaitu pada Ahad malam, beliau akan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Jepun.

Pada Isnin ini, Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Hakubun Shimomura.

Semasa kunjungan itu, satu majlis menandatangani memorandum kerjasama dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan Jepun, akan diadakan.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X