Sabtu, 14 March 2015 | 3:53pm

Saya tidak akan lindungi apa-apa kesalahan - Najib

NAJIB berucap di Majlis Perasmian Konvensyen UMNO Kedah yang diadakan di TH Hotel,Titi Gajah. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan melindungi apa-apa kesalahan dan tindakan yang dikenakan mengikut undang-undang.

Bercakap ketika merasmikan Konvensyen UMNO Kedah selama dua hari bermula hari ini, Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata kedaulatan undang-undang akan dipertahankan.

"Saya sebagai perdana menteri dan presiden parti akan sentiasa berusaha yang terbaik untuk parti dan negara. Jikalau ada permasalahan, sama-sama kita tangani. Jikalau ada isu-isu, sama-sama kita tanganinya. Kalau perlu kita buat secara telus, kita buat cara telus.

"Kalau ada apa-apa kesalahan, kita tidak akan lindungi, kita betulkan, kita ambil tindakan ikut undang-undang. Kedaulatan undang-undang kita mesti pertahankan," kata beliau pada majlis perasmian itu yang turut dihadiri Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Konvensyen UMNO Kedah itu dihadiri perwakilan daripada kesemua 15 UMNO Bahagian di negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X