Sabtu, 14 March 2015 | 8:53pm

Membangun komuniti lebih selamat, berdaya tahan kian mendesak

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berucap pada Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ketiga mengenai pengurangan risiko bencana di Sendai, Jepun, hari ini. Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja ke Jepun selama empat hari bermula semalam. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berucap pada Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ketiga mengenai pengurangan risiko bencana di Sendai, Jepun, hari ini. Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja ke Jepun selama empat hari bermula semalam. - Foto BERNAMA

SENDAI (Jepun): Negara-negara Asean kini berada di persimpangan untuk meningkatkan persefahaman tentang perubahan di dunia di mana respons terhadap bencana tidak lagi memadai, sedang tuntutan untuk membangun komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan semakin mendesak.

Dalam kenyataannya bagi pihak Menteri-menteri Asean yang bertanggungjawab bagi Pengurusan Bencana, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sejajar dengan itu, Asean kini memberi respons terhadap cabaran-cabaran dalam mengendali bencana yang dihadapi dunia ketika ini.

Beliau berkata rantau ini dihuni kira-kira 625 juta penduduk di mana Asean merupakan hub pembuatan dan perdagangan global utama, dan sebuah daripada pasaran pengguna yang berkembang pantas di dunia.

"Namun, Asean adalah juga salah sebuah wilayah paling berisiko di dunia. Sekitar 100 juta penduduk terjejas teruk oleh kejadian bencana sejak tahun 2000.

"Dan setiap tahun dalam tempoh berkenaan, Asean menanggung kerugian pada jumlah purata menggerunkan US$4.4 bilion akibat bencana.

"Bencana yang kian teruk, akibat diburukkan lagi oleh impak perubahan iklim, semakin menyulitkan lagi penduduk dalam Asean, terutama golongan miskin dan terpinggir," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berucap di Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Ketiga mengenai Langkah Mengurangkan Risiko Bencana di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menghadapi cabaran-cabaran ini dan khususnya untuk terus melabur dalam pembinaan ketahanan dan penyesuaian dengan perubahan iklim demi mengekalkan hasil pembangunan sosio-ekonomi, Asean bertekad untuk menggembleng komuniti dengan membina proses integrasi serantau Asean ke arah melahirkan komuniti Asean yang lebih bersatu, terangkum dan berdaya tahan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata membiayai kerugian selepas bencana adalah juga keutamaan Asean.

"Kami akan melaksanakan Program Pembiayaan Risiko Bencana dan Insurans Asean bagi mengimbangi sumber nasional dan serantau serta pasaran insurans antarabangsa," kata beliau.

Muhyiddin berkata Asean tetap komited untuk menerima pakai dan melaksanakan dokumen hasil yang fokus, tersendiri dan berorientasikan tindakan yang memudahkan pengurangan risiko bencana.

"...dan pentingnya mencapai langkah saling memperkukuh bantuan dalam pengurangan risiko bencana, perubahan iklim dan pembangunan lestari," kata beliau. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X