Ahad, 15 March 2015 | 9:55am

Buang isu politik, dahulukan kepentingan rakyat

Penstrukturan industri air di Selangor memasuki episod baharu susulan pendirian Menteri Besar, Datuk Mohamed Azmin Ali yang menamatkan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dikuasai pakatan pembangkang pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kerajaan Persekutuan.

Alasan utama Mohamed Azmin tidak meneruskan perjanjian itu adalah kerana mahu menjaga kedaulatan tanah Selangor yang menjadi laluan paip air sepanjang 26,000 kilometer daripada 'terjatuh' ke tangan kerajaan Persekutuan. Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan beliau tidak rela 'tanah Selangor' dirampas kerajaan Persekutuan kerana menganggap tanah berkenaan bukan 'aset air' yang sudah dinaik taraf oleh syarikat konsesi.

Secara mudah, Menteri Besar Selangor itu berpendapat kerajaan Persekutuan tidak berhak untuk memiliki tanah yang menempatkan segala aset air dan menjadi laluan jajaran paip air di negeri itu apabila perjanjian itu dimuktamadkan. Mohamed Azmin pasti memiliki alasan kukuh mengapa beliau bertegas dalam hal ini. Namun adakah semua pihak perlu akur bahawa kedaulatan tanah Selangor adalah lebih penting dalam hal ini berbanding kepentingan pengguna.

Meningkatkan kualiti air

Walau bagaimanapun, bagi membincangkan isu penstrukturan industri Selangor ini, sewajarnya semua pihak menolak ke tepi isu politik, sebaliknya melihat ia dari sudut perundangan dan kepentingan orang ramai.

Isu ini membabitkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) yang mana ia membenarkan kerajaan Persekutuan mengambil alih aset industri air di negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menstruktur semula industri air di Malaysia. Semua inisiatif yang diambil kerajaan Persekutuan dalam penstrukturan semula industri air adalah bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan bekalan air terawat demi kepentingan pengguna di seluruh negara.

Penstrukturan industri air ini sudah menampakkan mutu perkhidmatan dan bekalan air terawat kepada pengguna meningkat di negeri yang terlebih dahulu berhijrah ke rejim pelesenan baharu iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Malah kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP juga bersetuju berhijrah ke rejim pelesenan baharu kerana percaya, penstrukturan semula diperlukan untuk meningkatkan kualiti air di negeri itu.

Pada masa sama, ia meringankan beban pembiayaan pembangunan infrastruktur air yang ditanggung kerajaan negeri serta syarikat konsesi selama ini kerana ia kini menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Jika kerajaan DAP di Pulau Pinang boleh menerima dan mempercayai penstrukturan industri air dengan kerajaan Persekutuan tanpa perlu berdolak- dalih dalam soal kedaulatan tanah atau aset serta pegangan konsesi, mengapa pula kerajaan Selangor tidak boleh melakukan perkara sama? Penyerahan aset air kepada PAAB ini tidak menimbulkan isu kedaulatan tanah kerana apa yang penting adalah untuk menjaga dan membela kepentingan pengguna dalam mendapatkan bekalan air bersih terawat, tegas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Ridhuan Ismail.

"Semua negeri yang menyertai penstrukturan semula industri air tidak langsung tidak menimbulkan isu kedaulatan tanah. Perjanjian yang menyebabkan pengambilalihan aset industri air negeri sudah tentu membabitkan pengambilalihan tanah yang menempatkan bangunan, loji dan jajaran paip. "Akan tetapi selepas tamat tempoh perjanjian, semuanya akan dikembalikan kepada kerajaan negeri, tertakluk kepada syarat terkandung dalam perjanjian ditandatangani kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.

Selesaikan syarat utama perjanjian

Jika diteliti semua proses penstrukturan ini, MoU yang ditandatangani antara kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan pada 12 September tahun lalu mensyaratkan Selangor sepatutnya menyempurnakan syarat dalam perjanjian utama itu termasuk urusan pindah milik aset air kepada PAAB.

Selepas kerajaan Selangor menyelesaikan urusan pindah milik aset air itu kepada PAAB, barulah PAAB dapat menyediakan peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) berjumlah RM1.68 bilion bagi membantu Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membiayai kos pengambilalihan syarikat konsesi air.

Isu lain yang timbul termasuk urusan pindah milik aset air syarikat konsesi air (CCWA) kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat konsesi oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion. Akan tetapi, mengikut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, kerajaan Selangor ketika ini masih belum memuktamadkan senarai aset air miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan oleh SPAN kepada Air Selangor. Malah kerajaan Persekutuan melalui PAAB juga menyediakan peruntukan sejumlah RM2 bilion bagi membantu kerajaan negeri mengambil alih ekuiti syarikat konsesi.

Justeru, dalam perkembangan terbaharu ini, soal kedaulatan tanah sepatutnya bukan dijadikan isu besar sehingga menyebabkan kerajaan Selangor membatalkan perjanjian berkenaan. Adakah Menteri Besar Selangor tidak menyedari dan melihat semua negeri yang sudah berhijrah kepada rejim baharu pengurusan industri air berdasarkan WSIA 2006 Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menyerahkan aset air mereka kepada PAAB termasuk tanah yang menempatkan aset berkenaan?

Semak semula tawaran

Mengulas perkara ini, pakar industri pengurusan air, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berpendapat kerajaan Persekutuan perlu menyemak kembali tawaran dan perjanjian sebelum ini dan selepas itu baharu meneruskan perbincangan dengan kerajaan Selangor bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

Namun katanya, ia perlu mempunyai tempoh yang sudah ditetapkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa had masa. "Mungkin 'orang tengah' yang berpengalaman, berpengetahuan, berpengaruh dan tiada kepentingan perlu dilantik dalam perbincangan kedua belah pihak dalam isu ini agar tindakan segera dapat diambil bagi merungkaikan isu ini. Jika ini gagal, kemungkinan mahkamah terpaksa berperanan, namun diharapkan ini adalah pilihan terakhir yang diambil," katanya.

Haliza yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut berpendapat walau apa juga keputusan yang diambil, kepentingan rakyat Selangor dan Lembah Klang harus diutamakan. Air adalah bahan keperluan asasi bagi kelangsungan hidup manusia. "Dalam hal ini, isu air tidak wajar dipolitikkan dan dijadikan modal politik untuk menyerang atau menjatuhkan parti atau individu tertentu. Saya percaya ruang perbincangan masih wujud antara kedua pihak terbabit kerana ia membabitkan isu yang perlu diberi keutamaan," katanya.

Berita Harian X