Isnin, 16 March 2015 | 10:15am
PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal ketika menyaksikan perlawanan pasukan bimbingannya menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford awal pagi tadi. - Foto AFP

Van Gaal puji Rooney, enggan ulas gaya 'tinju'

MANCHESTER: Louis van Gaal enggan mengulas sambutan pelik Wayne Rooney sejurus meledak gol namun memuji persembahan kaptennya itu yang memberi inspirasi kemenangan 3-0 Manchester United membenam Tottenham Hotspurs, awal pagi tadi.

Akhbar di Britain pada Ahad mendakwa Rooney ditumbuk sehingga rebah oleh bekas pertahanan United, Phil Bardsley ketiga mereka bergurau di kediamannya, bulan lepas.

Kapten England itu kemudian membalasnya dengan melepaskan beberapa tumbukan sebelum merebahkan badan ke padang ketika meraikan jaringan ketiga United yang menyukarkan tugas Spurs untuk memburu kedudukan empat teratas liga.

Van Gaal begitupun tidak dapat melihat jenaka yang disampaikan Rooney dan berkata: "Saya tidak dapat membayangkan kita bercakap mengenai perkara seperti ini, perkara yang akhbar bayar banyak duit untuk mendapatkan video itu dan saya bercakap mengenainya.

"Adakah dunia sudah terbalik. Saya tidak mahu menjawab soalan ini kerana saya fikir ia sesuatu yang tidak munasabah untuk bercakap mengenai perkara ini ketika ini."

Begitupun, pengendali kelahiran Belanda itu memuji Rooney terutama ucapan kaptennya itu sehari sebelum perlawanan menentang Spurs.

Kemenangan memberikan United kelebihan lima mata di kedudukan empat liga, lima mata di depan Liverpool yang akan bertemu Swansea, hari ini.

"Pemain-pemain tahu perlawanan ini adalah sangat penting jadi saya fikir perlu melakukan sesuatu untuk membantu pemain atau membantu pengurus atau membantu kelab.

"Saya amat gembira.

"Kami sudah lama menunggu untuk kemenangan seperti ini. Prestasi amat bagus menentang pasukan yang amat baik. Jadi saya gembira.

"Kami bermain seperti satu pasukan dan amat bertekad dan ia sesuatu yang baik selepas kekalahan kepada Arsenal dan kamu boleh lahirkan sesuatu seperti ini. Ia adalah perlumbaan yang sengit dan kini kami hanya duia mata di belakang kelab di tempat kedua."

Tottenham menang dua perlawanan ketika kunjungan ke Old Trafford sebelum ini namun ketinggalan pada minit ke-34 menerusi jaringan Marouane Fellaini diikuti gol Michael Carrick dan Rooney.

Rooney dalam pada itu menegaskan apa yang berlaku dalam kehidupannya tidak merencatkan prestasinya.

"Inilah dunia yang kita hidup ketika ini. Ia adalah rumah saya sendiri, bukannya tempat awam. Ia adalah apa yang kawan-kawan lakukan, mereka suka membuat sesuatu di dalam rumah. "- AFP

Berita Harian X