Isnin, 16 March 2015 | 3:35pm

Malaysia timbang struktur, undang-undang pengurusan bencana - TPM

MUHYIDDIN (dua dari kiri), mengadakan perbincangan dua hala dengan Shinzo Abe (dua dari kanan), ketika menghadiri Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kali ketiga mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Sendai, Jepun.- Foto BERNAMA
MUHYIDDIN (dua dari kiri), mengadakan perbincangan dua hala dengan Shinzo Abe (dua dari kanan), ketika menghadiri Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kali ketiga mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Sendai, Jepun.- Foto BERNAMA

TOKYO: Malaysia sedang melihat kemungkinan untuk mewujudkan struktur baharu dalam pengurusan bencana serta undang-undang khas bagi membolehkan isu bencana diuruskan dengan teratur dan tersusun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini semua perkara berkaitan bencana adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia aspek keselamatan, tetapi bidang tugas MKN menjadi terlalu banyak ketika bencana berlaku.

Beliau berharap isu bencana diuruskan oleh satu struktur baharu, dengan seorang pegawai tertinggi diberikan kuasa penuh untuk mengerah segala kemudahan, sumber dan aset ketika berlaku bencana.

"Kita (kerajaan) akan teliti (struktur baharu). Kita tak ada undang-undang khas. Ada struktur tadbir urus yang kena kaji, perkukuhkan undang-udang tertentu supaya lebih mudah dilaksanakan (pengurusan bencana), lebih berkesan dan ada pihak bertanggungjawab.

"Tak macam sekarang ni semua urusan bawah MKN. MKN lihat semua aspek keselamatan negara, tapi bila soal bencana, beban banyak sangat untuk MKN," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan empat harinya di Jepun, di sini hari ini.

Muhyiddin tiba di sini Jumaat lepas untuk lawatan kerja empat hari dan antaranya menghadiri Persidangan Dunia Mengenai Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa Bersatu kali ketiga di Sendai.

Persidangan di Sendai, kira-kira 380km dari Tokyo, bermula Sabtu hingga Rabu.

Kelmarin, di Sendai, Timbalan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan semalam beliau mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Akihiro Ota.

Hari ini beliau mendengar taklimat oleh pihak berkuasa Jepun berkenaan pengurusan bencana dan dasar tindak balas yang disampaikan oleh Ketua Pengarah bagi Pengurusan Bencana, kerajaan Jepun, Hirofumi Hihara.

Pada sidang media itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, dalam taklimat oleh kerajaan Jepun itu, beliau dimaklumkan bahawa Jepun tidak mewujudkan badan khusus atau agensi khas untuk pengurusan bencana tetapi ia dilakukan menerusi struktur tadbir urus dan mempunyai undang-undang khas.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X