Selasa, 17 March 2015 | 7:29am

Rakyat merana kemudahan asas dipolitikkan

Aneh, tidak sampai seminggu kerajaan Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Kerajaan Pusat, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dilaporkan meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan isu yang berlarutan sejak pembangkang mentadbir negeri itu.

Menurut Azmin, permintaan untuk Najib campur tangan menyelesaikan isu perjanjian air itu disampaikan pada pertemuan kedua-duanya ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Khamis minggu lalu. "Kami minta tolong Perdana Menteri untuk memaklumkan kementerian (Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) supaya dapat diadakan satu perbincangan dan penyelesaian bersama," katanya.

Menteri Besar Selangor itu sebelum ini mengumumkan pembatalan berkenaan dengan alasan Kerajaan Pusat melanggar perjanjian yang ditandatangani bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lalu.

"Kerajaan Pusat melanggar terma perjanjian ditandatangani pada September 2014 menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan. Ketika saya menjadi Menteri Besar pada September tahun lalu, saya bersedia untuk meneruskan perjanjian ini, namun Kerajaan Persekutuan gagal memenuhinya bahkan meminta lanjutan tempoh," Azmin dipetik berkata ketika mengumumkan pembatalan itu.

Selangor gagal penuhi 3 syarat

Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat Selasa minggu lalu, Azmin mendakwa Kerajaan Pusat gagal memenuhi empat perkara dalam perjanjian itu, antaranya mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke atas semua baki aset yang dimiliki. Turut dipersoalkan ialah tuntutan Kerajaan Pusat terhadap 26,000 kilometer tanah dilalui paip saluran air yang tidak disebutkan dalam perjanjian.

Walau bagaimanapun, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam penjelasannya, berkata apa yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan negeri gagal melaksanakan tiga syarat permulaan untuk memastikan perjanjian ditandatangani antara Kerajaan Pusat, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 12 September itu dilaksanakan iaitu:

l Belum menyelesaikan urusan pindah milik aset air kepada PAAB untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM168 bilion bagi membantu kos pengambilalihan syarikat konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS);

l Belum menyelesaikan urusan pindah milik aset air syarikat konsesi kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat itu oleh PAAB berjumlah RM7.65 bilion, dan

l Belum memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada PASSB mengikut Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006).

Azmin buat kenyataan bercanggah

Apakah muslihat Azmin membuat dua kenyataan penting tetapi agak bercanggah mengenai isu air dalam tempoh seminggu itu hanya beliau yang tahu. Bagi rakyat biasa, memang keliru kerana bagi mereka kementerian, Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri adalah pasukan yang sama.

Namun, yang lebih dibimbangi rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang ialah tindakan kerajaan negeri memanjangkan lagi isu ini menjejaskan pembinaan Loji Air Langat 2, sekali gus mengundang krisis bekalan air sekarang berterusan.

Loji itu penting untuk memastikan lapan juta penduduk Lembah Klang mendapat bekalan air mencukupi dan berterusan sehingga tahun 2025.

Kita tidak tahu siapakah sebenarnya yang dimarahi Azmin - Kerajaan Pusat atau seteru politik dalam partinya dahulu, Khalid? Sejak mengambil alih teraju pentadbiran Selangor enam bulan lalu, Azmin bagaikan mahu memadam beberapa legasi Khalid.

Pada 16 Februari lalu, Azmin mengumumkan pembatalan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) bernilai lebih RM2 bilion yang bertujuan menyuraikan kesesakan trafik terutama di Petaling Jaya, dengan alasan syarikat konsesi gagal mematuhi syarat sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.

Kita tidak tahu apa lagi dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu akan dibatalkan selepas ini. Yang pasti, pembatalan perjanjian air dan pembinaan KIDEX menjejaskan usaha memberi keselesaan kepada majoriti penduduk Lembah Klang untuk jangka panjang.

Dari sudut ekonomi pula, tindakan drastik seumpama itu memberi isyarat negatif kepada pelabur terhadap Selangor, negeri yang sebelum ini termaju di Malaysia.

Berita Harian X