Selasa, 17 March 2015 | 2:15pm

Sektor awam, swasta jimat RM323j pada 2014 - MITI


HAMIM berucap merasmikan Creanova Lean 2015, yang bertemakan "Memaksimumkan Nilai, Mengurangkan Pembaziran" anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Sektor awam dan swasta di negara ini mencatat penjimatan RM323 juta tahun lalu menerusi pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata inisiatif itu seperti 'Pengurusan Lean', membantu sektor berkenaan mengurangkan pembaziran dan memaksimumkan nilai pelanggan yang sekali gus menambah baik mutu kerja.

"Kami berharap dapat melihat lebih banyak organisasi pada masa hadapan melaksanakan inisiatif 'Pengurusan Lean' bagi menambah baik proses perniagaan selain mengekalkan produktiviti, daya saing, kreativiti dan inovasi," katanya.

Hamim berkata demikian pada majlis pembukaan Creanova Lean 2015, yang bertemakan "Memaksimumkan Nilai, Mengurangkan Pembaziran", di sini, hari ini.

Pengurusan Lean merujuk kepada koleksi prinsip dan kaedah yang menumpukan kepada mengenal pasti dan menghapuskan aktiviti bukan tokokan nilai menerusi peningkatan berterusan produk dan perkhidmatan bagi manfaat pelanggan.

Mengulas lanjut, Hamim berkata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sudah melaksanakan pelbagai program produktiviti dan inovasi berimpak tinggi bagi menyokong usaha perniagaan dalam produktiviti mereka, iaitu menerusi Program Intervensi Enterpris (EIIP) yang berfungsi sebagai pelan hala tuju bagi mengenal pasti situasi inovatif syarikat-syarikat.

Pengerusi MPC Tan Sri Azman Hashim dalam ucapan beliau pada majlis itu berkata 'Pengurusan Lean' berupaya mengurangkan peraturan perniagaan yang amat sejajar dengan inisiatif kerajaan menggalakkan pertumbuhan yang berdasarkan kepada sektor dan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Mohd Razali Hussain memberi tahu sidang akhbar selepas majlis tersebut Creanova Lean 2015 adalah inisiatif perbadanan itu untuk membantu para peserta dari industri berbeza bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman di samping berbincang mengenai isu-isu berkaitan dengan prestasi dan kecemerlangan operasi.

Dari 2013 hingga sekarang MPC sudah menyerahkan sijil pengiktirafan Lean kepada 48 syarikat atas komitmen dan dedikasi mereka dalam merealisasikan sistem 'Pengurusan Lean'.

"Tahun ini kami menyasar penjimatan RM350 juta dalam kalangan sektor awam dan swasta menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti," katanya. -BERNAMA

Berita Harian X