Selasa, 17 March 2015 | 2:23pm

Cili Soto Ana, jual 800 botol sebulan

MELAKA: Bermula dengan warung menjual makanan seperti soto, Rohana Abd Samad, 59, kini bergelar usahawan berjaya apabila mampu menjual lebih 800 botol sambal kicap berjenama 'Cili Soto Ana', sebulan.

Mesra dengan panggilan 'Hajah Rohana', beliau menjual sambal kicap yang dibotolkan seberat 350 gram pada harga RM8 sebotol sejak lebih dua tahun lalu.

"Sekarang, selain Melaka, pasaran kita ialah Kuala Lumpur, Serdang (Selangor) dan Putrajaya, dan sedang berusaha memasarkan produk itu ke Pahang," katanya.

Sambal kicap, dengan ramuan utamanya kicap dan cili, ialah bahan makanan sampingan yang digunakan sebagai pencicah untuk dimakan bersama pisang goreng atau sebagai penyedap rasa untuk makanan bersup seperti soto.

Rohana berkata perniagaan warung makanannya yang diusahakan sejak 30 tahun lalu, memberikan idea untuk dirinya memulakan perniagaan menjual sambal kicap dalam botol.

Ilham untuk membotolkan sambal kicap ini dibuat berikutan bahan berkenaan tidak tahan lama jika tidak disimpan dalam peti sejuk selain tidak enak rasanya jika tidak dimakan segera.

"Selalunya pelanggan saya yang beli soto mengadu masalah ini, jadi saya memikirkan kaedah menyelesaikan masalah pelanggan kerana selain makan dengan soto, ada juga yang sanggup beli lebih untuk di makan dengan makanan lain seperti pisang goreng," katanya.

Bersama anggota keluarganya, beliau membotolkan sambal kicap itu, yang mempunyai daya tahan enam bulan, di kilangnya di Taman Merdeka di sini.

Rohana yang berasal dari Muar Johor tidak menggunakan bahan kimia supaya sambal kicapnya itu bertahan lama.

Bagi menghasilkan sambal kicap bermutu, Rohana hanya menggunakan cili padi kampung, bawang putih dan kicap bermutu yang diperoleh menerusi pembekalnya bersama bahan lain yang dirahsiakan.

"Saya menggunakan lebih 12 kg cili padi kampung seminggu kerana cili jenis ini lebih pedas berbanding cili padi biasa, pedas menyengat yang amat digemari orang Melaka dan Johor," katanya.

Pengurus Pemasaran Cili Soto Ana, Shahida Bahari, 30, berkata bagi membotolkan produk, syarikat menggunakan plastik mudah lentur bagi memudahkan pengguna.

Shahida yang juga anak Rohana berkata perniagaan itu memerlukan bantuan untuk membolehkan produknya menembusi pasaran di pasar raya besar selain bantuan mesin bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

"Buat masa ini kewangan kita agak baik, cuma kami memerlukan bimbingan bagi menambah baik produk, terutama dari segi pembungkusan serta teknik untuk menembusi pasaran di luar negara," katanya.

Beliau berkata pada akhir tahun lalu syarikat itu memperkenal produk baharu - soto segera jenama 'Perencah Soto Ana' bagi menambah bilangan produk syarikat itu.

"Produk ini memudahkan suri rumah memasak soto dengan hanya menambah air dan dimasak, selain boleh disimpan lama lebih enam bulan dalam peti sejuk," katanya.

Dijual dalam pek 350 gram berharga RM9, perencah soto itu diharap dapat membawa syarikat itu ke tahap baharu dalam bidang perusahaan makanan di negara ini. - BERNAMA

Berita Harian X