Khamis, 19 March 2015 | 10:52am
PROSES dokumentasi terhadap pemandu teksi dalam Operasi TEGAS bagi teksi yang tidak menggunakan meter ketika operasi dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa SPAD di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Tambang teksi, bas ekspres naik 20 hingga 67 peratus

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi teksi dan kereta sewa berkuat kuasa serta merta, manakala bas ekspres mulai 15 Mei.

Tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus, manakala tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata penetapan kadar baharu perkhidmatan teksi dan bas ekspres berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan dan insurans.

Katanya, penetapan terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres pada tahun 2009.

"Bagi teksi, kadar baharu hanya tertakluk untuk perjalanan antara 0.25 sen sehingga 0.35 sen per 200 meter (m).

"Tempoh menunggu, antara 0.25 sen hingga 0.35sen/36 saat.

"Manakala bas ekspres pula, kenaikan untuk perjalanan seluruh negara antara RM4.60 sehingga RM11," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPAD di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, berdasarkan tambang baharu itu, penumpang teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini, manakala penumpang TEKS1M di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.

Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.

Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11.

Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan teksi lapangan terbang dan teksi eksekutif, kata Syed Hamid.

Beliau berkata penetapan kadar baharu itu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres dibuat pada 2009.

"Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai," katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu.

"Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan," katanya.

Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah KTM Berhad dan Prasarana, beliau berkata ia hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit.

Beliau juga menegaskan penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa 1 April sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak.

Berita Harian X