Rabu, 3 September 2014 | 9:04am
FERNANDO Alonso ketika sesi latihan Grand Prix Belgium di Litar Spa-Francorchamps, dua minggu lalu.

Jentera Ferrari 'Bosan' - Alonso

MONZA: Kurang gembira bersama Ferrari dan mengakui harapan untuk menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Itali, minggu ini tipis, Fernando Alonso tetap menolak spekulasi dia kini bersedia untuk berhijrah ke pasukan lain, tahun depan.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu berkata meskipun kecewa dengan pasukan berpangkalan di Itali itu, dia tidak pernah berfikir untuk meninggalkan Ferrari dan kembali ke pasukan lamanya, McLaren.

Dalam satu temubual bersama Sky Sports, Alonso menafikan dia akan bertukar pasukan sekalipun mengakui "bosan untuk memandu jenteranya" musim ini.

"Saya tidak pernah berhasrat untuk berpindah ketika ini. Saya mahu memenangi perlumbaan bersama Ferrari. Saya mahu menang di sini dan menamatkan kerja yang saya mulakan beberapa tahun lalu," kata Alonso.


REAKSI pelumba Formula Satu Ferrari, Fernando Alonso ketika perlumbaan Grand Prix Belgium di Litar Spa-Francorchamps.

Alonso jelas kecewa dengan apa yang ditampilkan musim ini yang menyaksikan dominasi pasukan Mercedes bersama dua pelumbanya, Nico Rosberg dan jaguh British, Lewis Hamilton.

"Musim kami tidak menjadi kerana kami meletakkan harapan yang tinggi dengan peraturan baru tahun ini, bermula dengan kosong bersama pasukan lain. Kami fikir kami mempunyai kelebihan dengan kemudahan dan maklumat daripada semua orang.

"Sebaliknya, kami mendapati kami tidak berada di landasan yang baik dan tidak kompetitif. Kami amat jauh berbanding pendahulu kejuaraan, sekitar satu setengah saat berbanding Mercedes," katanya yang mengakui tahun ini adalah sukar buat Ferrari dan F1.

"Pertama, kami tidak kompetitif dan juga kerana agak bosan untuk memandu jentera ini... Ia terlalu perlahan dan berat dan kami tidak dapat menikmati bunyi yang kebiasaannya kami gemari," katanya. - REUTERS

68 dibaca
Berita Harian X