Khamis, 19 March 2015 | 1:48pm

Bantuan banjir: Lebih RM1 juta diagih kepada warga pendidik

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2, Roshaliza Abdul Hadzi (kanan) sambil diperhatikan guru lain pada Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir kepada warga pendidik Kementerian Pendidikan di Bangunan Parlimen. Turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (lima dari kanan). - Foto Sairien Nafis.

KUALA LUMPUR: Warga pendidik yang terjejas akibat banjir buruk yang melanda enam negeri, termasuk Sabah dan Sarawak hari ini menerima bantuan lebih RM1 juta hasil kutipan Tabung Bantuan Bencana Tabung Persatuan Sukan dan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA).

Majlis penyerahan berlangsung di menara Parlimen sebentar tadi dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Kesemua bantuan akan diagihkan kepada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru dan Anggota Khidmat Perlaksana (AKP) di 839 sekolah, PPD dan JPN di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Peruntukkan itu akan diagihkan kepada mangsa banjir kategori sangat kritikal berjumlah RM500 seorang manakala agihan kategori sederhana kritikal diserahkan kepada JPN untuk diagihkan kepada sekolah sekolah yang terlibat.

Daripada jumlah itu, JPN Kelantan muncul penerima tertinggi, sebanyak RM559,500 diikuti JPN Terengganu (RM160,000) JPN Pahang (RM71,500) JPN Sabah (RM64,000) manakala JPN Perak dan Sarawak masing masing RM24,000.

Seramai 15, 868 pegawai JPN atau PPD, guru dan AKP menjadi mangsa dalam bencana itu dengan 205 daripadanya dikategorikan pada tahap sangat kritikal manakala 15,663 orang pada tahap sederhana kritikal.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad.

Berita Harian X