Ahad, 22 March 2015 | 4:47pm

Bukan rezeki saya di DFKL 2015 - Ayda Jebat

Penyanyi, Ayda Jebat atau nama sebenar, Nur Suhada Jebat. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Drama Rindu Awak 200% menang empat kategori daripada tujuh kategori dipertandingkan pada malam anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 di TV3, malam tadi

Kategori yang dimenangi termasuk Drama Pilihan, Penulis Skrip Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Pelakon Lelaki Drama Pilihan, namun kategori Pelakon Wanita Drama Pilihan dan Hero & Heroin Drama Pilihan gagal menyebelahi drama berkenaan.

Ayda Jebat yang juga heroin drama berkenaan pulang dengan tangan kosong biarpun namanya diramal menang besar, sekali gus meneruskan kecemerlangannya selepas memenangi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop di Anugerah Meletop ERA 2015, baru-baru ini.

Calon Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014 itu bagaimanapun percaya semuanya berbalik kepada soal rezeki dan tuah.

"Memang saya tahu ada yang meramalkan saya akan menang di DFKL 2015. Tapi sudah tertulis bukan rezeki saya. Siapa tahu mungkin akan ada berita baik pula menyebelahi saya selepas ini.

"Sebenarnya bukan tak terkilan langsung tak dapat menang. Tambahan pula ini drama sulung yang menaikkan nama saya.Tapi tahun ini saja drama ini dicalonkan sebab tahun depan senarai drama lain pula.

"Apapun saya percaya Amyra Rosli layak menang kategori Pelakon Wanita Drama Pilihan. kalau semua kategori menang dekat drama ini nampaknya kena tukar jadi festival Rindu Awak 200% lah nampaknya," seloroh Ayda.

Tambah Ayda lagi, dia melihat kategori Hero & Heroin Drama Pilihan yang dimenangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose memang layak dan wajar.

"Penerbit drama ini terkilan juga sebab kategori hero & heroin pilihan tak dimenangi saya dan Zul Ariffin. Tak apalah...saya kena kerja kuat dan kekal positif selalu.

"Apapun tahniah kepada TV3 dan TV9 atas penganjuran anugerah ini kerana mengiktiraf produksi, pelakon dan karya drama tempatan," katanya.

Berita Harian X