Isnin, 23 March 2015 | 9:37am

Tiada lagi insan seperti Encik Lee Kuan Yew - Anak

SUASANA di hospital ketika ucapan khas oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang disiarkan di televisyen sempena kematian bapanya, Lee Kuan Yew. - Foto AP
SUASANA di hospital ketika ucapan khas oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang disiarkan di televisyen sempena kematian bapanya, Lee Kuan Yew. - Foto AP

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, republik itu tidak akan memiliki seorang insan seperti Lee Kuan Yew sekali lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas berikutan kematian bapanya pada awal pagi tadi yang disiarkan menerusi televisyen dan stesen radio republik berkenaan.

"Pengasas pertama negara kita sudah tiada lagi. Mendiang memberi inspirasi kepada kita, memberikan kita keberanian, menyatu padukan kita dan membawa kita ke tahap ini.

"Mendiang berjuang untuk mencapai kemerdekaan, membangun sebuah negara yang tiada apa-apa dan menjadikan kita bangga menjadi rakyat Singapura.

"Kita tidak akan memiliki seorang lagi insan seperti mendiang.

"Kepada kebanyakan rakyat Singapura dan di kalangan ramai orang, Lee Kuan Yew adalah Singapura.

"Sebagai perdana menteri, mendiang bekerja keras untuk mencapai apa yang kita rasa mustahil. Selepas meletak jawatan, mendiang memberi panduan kepada penggantinya secara bijaksana dan berhemah.

"Walaupun pada usia lanjut, mendiang terus memantau keadaan Singapura," katanya.

Hsien Loong berkata: "Singapura adalah semangat buatnya. Mendiang berkorban dirinya demi Singapura."

Lee berkata, mendiang bapanya pernah memberitahu: "Saya sudah mencurahkan seluruh hidup saya, kebanyakannya untuk membangunkan Singapura. Tiada apa lagi yang patut saya lakukan. Akhirnya nanti, apa yang saya dapat? Sebuah negara Singapura yang berjaya. Apa yang saya sudah korbankan? Hidup saya."

"Saya amat bersedih dan sukar diluahkan dengan kata-kata berikutan kematian Encik Lee Kuan Yew. Saya tahu kami semua rasa begitu. Tapi walaupun pada ketika bersedih atas kematiannya, marilah kita hormati semangatnya.

"Marilah kita bersama-sama bersatu untuk terus membina Singapura berdasarkan asas yang dimulakannya, berusaha mencapai matlamat cetusan ideanya dan terus mengekalkan Singapura sebagai negara yang luar biasa dan berjaya pada tahun-tahun mendatang," kata Hsien Loong.

Perdana Menteri Singapura itu menamatkan ucapan khas beliau dengan berkata: "Semoga Encik Lee Kuan Yew bersemadi dengan aman." - Channel NewsAsia.

Berita Harian X