Isnin, 23 March 2015 | 7:29pm

Maybank dalam senarai 100 Jenama Bank Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) adalah wakil tunggal institusi kewangan Malaysia yang tersenarai dalam 100 Jenama Bank Terbaik Dunia menerusi Laporan Global 500 League Table, iaitu penyelidikan tahunan yang dijalankan Brand Finance.

Menerusi pengiktirafan itu, Maybank turut dinamakan sebagai Jenama Bank Terbaik Malaysia dengan memperoleh penarafan jenama AA+ pada tahun ini, iaitu pada kedudukan ke-91 berbanding 93 pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Maybank, Mohamed Adam Wee Abdullah, berkata kejayaan itu membuktikan pewujudan nilai tradisi sekian lama institusi itu untuk pemegang kepentingan serta komitmennya terhadap komuniti.

"Pengiktirafan itu mencerminkan francais kukuh yang dinikmati Maybank di rantau ini dan ekuiti yang dibangunkan sejak bertahun menerusi tumpuan ke atas khidmat nasihat dan penyelesaian kewangan yang tepat kepada pelanggan.

"Selain itu, ia juga usaha untuk membabitkan komuniti menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab korporat kami," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Brand Finance mengumpulkan maklumat penyelidikan berdasarkan tiga kriteria utama iaitu perniagaan berjenama, sumbangan jenama dan nilai jenama yang mana setiap penanda aras itu menumpukan kepada segmen perniagaan berbeza seperti nilai yang diberikan oleh jenama kepada perniagaan dari segi jumlah urus niaga dan harga premium.

Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai penyedia perkhidmatan kewangan terunggul di negara ini dan satu daripada terbesar di ASEAN, dengan nilai jenama meningkat hampir sekali ganda kepada AS$2.24 bilion (RM8.27 bilion) berbanding tahun 2010.

Berita Harian X