Selasa, 24 March 2015 | 8:55pm

Sukan SEA: Atlet wajib ujian doping sebelum ke Singapura

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima cenderahati daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan pada majlis pelancaran Sambutan Hari Sukan Negara 2015, hari ini. Turut bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri), Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Datuk Jamil Salleh (dua kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Atlet yang akan menyertai temasya Sukan SEA di Singapura pada Jun ini wajib menjalani ujian doping, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata ujian itu sebagai langkah mengatasi penyalahgunaan bahan terlarang oleh atlet ketika mewakili negara pada temasya itu nanti.

"Saya sudah arahkan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) untuk buat ujian doping kepada setiap atlet ke Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Logo dan Kira Detik Hari Sukan Negara, di sini hari ini.

Sebelum ini, ujian doping hanya dijalankan terhadap 30 peratus atlet secara rawak sebelum menyertai kontinjen negara ke temasya sukan besar.

Beliau juga berharap Adamas dapat perbaiki pengurusan maklumat agar maklumat daripada Agensi Anti Doping Antarabangsa (WADA) dapat diterima dengan lebih cepat.

Pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, pingat emas pertama negara ditarik balik ekoran atlet wushu Tai Cheau Xuen gagal ujian doping.

Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pula kini berdepan penggantungan sementara kerana dikesan mengambil bahan terlarang mengandungi "dexamethasone" ketika aksi Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X