Rabu, 3 September 2014 | 6:09pm
DATUK Murly Manokharan (kiri) bersalam dengan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar (tiga dari kiri) sambil disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (dua dari kiri) selepas majlis memeterai perjanjian pembelian dan pembangunan bagi tanah seluas 99 hektar di sini hari ini. - Foto Muhammad Mikail Ong

Aspen Vision City, Batu Kawan bermula akhir 2015

GEORGE TOWN: Aspen Group Holdings Bhd menyasarkan kerja pembinaan fasa pertama Aspen Vision City di Batu Kawan bermula menjelang akhir 2015 dan siap pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Murly Manokharan, berkata fasa pertama itu terdiri daripada kompleks beli-belah berintegrasi dengan Ikea sebagai premis teras.

Beliau berkata Aspen Vision City yang akan dibangunkan di tapak seluas 99 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM8 bilion dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

"Fasa pertama ini untuk gedung Ikea, pusat beli-belah dan lain-lain premis komersial. Kita juga akan membabitkan penyertaan peruncit tempatan lain dalam projek ini," kata Murly di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian pembelian dan pembangunan bagi tanah seluas 99 hektar itu dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Aspen turut memeterai perjanjian perkongsian dengan Ikano Pte Ltd untuk pembukaan premis Ikea serta usaha sama membangunkan pusat beli-belah berintegrasi serantau dan pembangunan bercampur.

Majlis disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengarah Urusan Ikano, Christian Rojkjaer.

Projek itu juga akan meliputi pembangunan kediaman, pejabat, kemudahan perubatan, taman seluas 8.1 hektar dan hab pengangkutan berintegrasi bagi Seberang Perai.

Murly berkata Batu Kawan akan menjadi bandar raya masa depan Pulau Pinang dan Aspen Vision City bakal muncul sebagai ekoperbandaran berintegrasi sepenuhnya selepas hampir dua tahun kajian dan perancangan terperinci. - BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X