Rabu, 25 March 2015 | 2:14pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin (kanan dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal (kiri ), Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi , Dr Zulkifli Mohamed Hashim (kanan) dan Naib Presiden Kanan Pengurusan teknologi dan Inovasi Bahagian BiotechCorp, Dr Harcharan Singh (kiri dari) semasa Pelancaran Supercritical Fluid Pusat (SFC) pengekstrakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Biotechcorp lancar 25 ekstrak herba tempatan

KUALA LUMPUR: Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) hari ini melancarkan 25 ekstrak semula jadi daripada herba dan rempah tempatan yang dihasilkan menggunakan teknologi Supercritical Fluid Extraction (SFE) dari Belanda.

Antara ekstrak semula jadi yang dihasilkan adalah ekstrak halia, limau perut, lada dan haruan.

Ekstrak yang dihasilkan itu akan digunakan untuk menghasilkan produk penjagaan kesihatan, diri dan kulit serta nutrien tambahan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin melancarkan ekstrak semula jadi berkenaan hari ini.

Dalam pada itu, BiotechCorp bercadang untuk membuka pusat jualan sehenti dikenali Bioshoppe di Dubai tahun ini bagi memasarkan produk keluaran syarikat berstatus BioNexus tempatan di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal, berkata pembukaan pusat jualan sehenti itu akan menjadi platform utama untuk produk berasaskan bioteknologi khususnya kesihatan, kosmetik dan makanan tambahan keluaran tempatan menembusi pasaran global.

Beliau berkata, pihaknya dalam perbincangan dengan pihak yang berminat dari Dubai untuk membuka pusat jualan sehenti Bioshoppe di rantau itu yang menawarkan peluang pertumbuhan yang kukuh.

"Sambutan amat menggalakkan terhadap produk yang dihasilkan syarikat berstatus BioNexus tempatan ketika kami membuat pameran di Abu Dhabi.

"Kami melihat potensi permintaan yang sangat tinggi daripada komuniti Arab dan adalah baik untuk membuka Bioshoppe di rantau itu sebagai langkah permulaan menembusi pasaran antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas pelancaran 25 pati semula jadi yang diekstrak daripada herba dan rempah tempatan di sini hari ini.

Mohd Nazlee berkata, BiotechCorp bercadang untuk membuka 10 pusat jualan sehenti Bioshoppe di pasaran tempatan tahun ini.

Setakat ini, Biotechcorp sudah membuka cawangan pertama Bioshoppe di IOI Mall Puchong menerusi usaha sama dengan Nova Natural and Skincare (Nova).

Bioshoppe diperkenalkan selepas menyedari sebahagian besar produk berasaskan bio yang dihasilkan syarikat berstatus BioNexus tempatan menghadapi kesukaran untuk memasarkan produk mereka.

"Bioshoppe ini menyediakan platform terbaik kepada syarikat berstatus BioNexus memasarkan produk mereka di pasaran umum," katanya sambil menambah pembukaan Bioshoppe itu juga bagi memastikan semua usaha serta pelaburan untuk R&D dalam industri bioteknologi tidak disia-siakan.

Setakat ini, sebanyak 248 syarikat berstatus BioNexus di negara ini.

Status BioNexus diberikan kepada syarikat bioteknologi tempatan serta asing berkelayakan yang mendapat sokongan daripada BiotechCorp dalam pelbagai aspek.

Berita Harian X