Khamis, 26 March 2015 | 1:07pm

Kerajaan rangka garis panduan pengangkutan awam mesra OKU

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka garis panduan bagi membolehkan semua perkhidmatan pengangkutan awam mempunyai ciri kebolehcapaian yang standard dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, garis panduan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengangkutan yang terletak dalam Majlis OKU Kebangsaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ia di pengerusikan oleh Kementerian Pengangkutan manakala SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) adalah antara ahlinya. Ini masih di peringkat awal namun tidak mustahil ia akan dijadikan undang-undang di masa hadapan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zuraida Kamaruddin PKR-Ampang) yang ingin tahu keseriusan kerajaan membuat perancangan bagi memastikan pengangkutan awam menitikberatkan golongan OKU terutama di kawasan luar bandar.

Mengenai sebab kerajaan tidak mewajibkan semua operator bas menyediakan bas mesra OKU pada masa ini, Nancy berkata, ia adalah kerana kerajaan mengutamakan kemampuan industri bas henti-henti untuk terus beroperasi dan menyediakan perkhidmatan terlebih dahulu.

Nancy berkata, kos menyediakan bas mesra OKU atau berlantai rendah adalah lebih tinggi berbanding bas biasa.

"Sebagai contoh, harga sebuah bas biasa 12 meter adalah antara RM400,000 hingga RM1 juta, tertakluk kepada jenama dan modelnya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun kerajaan tidak mempunyai peruntukan khas untuk mensyaratkan bas jenis mesra OKU disediakan, namun penyedia perkhidmatan bas sama ada di bandar atau luar bandar digalakkan untuk menyediakan bas yang mesra OKU.

- BERNAMA

Berita Harian X