Khamis, 26 March 2015 | 6:19pm

Masalah peribadi punca Zayn Malik tinggalkan 1D?

ZAYN sebelum ini membuat satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook One Direction memaklumkan yang beliau nekad meninggalkan rakan-rakannya selepas lima tahun bersama. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pengunduran Zayn Malik daripada kumpulan One Direction (1D) menimbulkan pelbagai spekulasi apabila ada pihak mendakwa penyanyi itu disingkirkan berikutan masalah peribadi.

Malah sesetengah pemerhati membuat telahan jejaka berusia 22 tahun itu sengaja meninggalkan kumpulan itu kerana ingin bergerak solo.

Zayn sebelum ini membuat satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook One Direction memaklumkan yang beliau nekad meninggalkan rakan-rakannya selepas lima tahun bersama.

Keputusan yang diambil oleh Zayn ini mengejutkan banyak pihak terutama peminat fanatik mereka. Namun di sebaliknya ada yang melihat langkahnya itu demi perkembangan kerjaya solo beliau.

ZAYN Malik (dua dari kanan) dan kumpulan One Direction. - Foto AP

"Memang isu Zayn berparti di Phuket ketika konsert jelajah 1D menjadi kontroversi hingga ada mengatakan dia berundur secara hormat.

"Tetapi pada masa sama, ramai tidak tahu Zayn ada merakamkan album solo untuk projek khas yang masih dalam pembikinan.

"Siapa tahu mungkin Zayn merasakan dirinya yang juga dianggap anggota paling kacak 1D lebih berjaya jika bergerak solo," kata sumber.

One Direction dianggotai oleh Niall Horan, Harry Styles, Liam Payne dan Louis Tomlinson.

Berita Harian X