Khamis, 26 March 2015 | 7:41pm

F1: Alonso tak dapat beri jawapan misteri kemalangan


JUARA dunia dua kali, Fernando Alonso duduk di dalam kereta yang akan dipandunya pada perlumbaan F1 di Litar Lumba Sepang, Kuala Lumpur. - Foto REUTERS

SEPANG: Kelibat juara dunia dua kali, Fernando Alonso di Sepang, selepas diberi kebenaran berlumba di Grand Prix Malaysia mendominasi hampir keseluruhan sidang media dengan segala soalan ditujukan kepadanya.

Hadir di sidang media rasmi GP Malaysia pertama, hari ini bersama lima pelumba lain, pelumba kelahiran Sepanyol itu begitupun diasak bertubi-tubi soalan daripada wartawan mengenai misteri kemalangan yang melandanya ketika ujian pra-musim, Februari lalu.

Alonso tidak menyertai perlumbaan Formula Satu (F1) pembuka musim di GP Australia, dua minggu lalu selepas berdepan kemalangan ketika sesi ujian di Barcelona yang sehingga timbul berita dirinya hilang ingatan selepas insiden terbabit.

"Semuanya tidak lebih atau kurang daripada hilang ingatan yang biasa. Jadi saya berdepan perkara ini dan pergi ke hospital dalam keadaan yang baik.

"Ada masa yang saya tidak dapat mengingati kembali apa yang berlaku bermula daripada jam dua hingga enam petang atau sesuatu seperti itu namun semua perkara yang naik adalah normal kepada perubatan yang mereka berikan kepada kamu," kata Alonso yang memiliki rekod baik menjuarai GP Malaysia sebanyak tiga kali.

"Saya tidak bangun pada 1995... saya tidak bangun dan bercakap bahasa Itali atau sebarang berita yang dilaporkan.

"Saya mengingati semula insiden itu dan segala-galanya sehari selepas itu," katanya yang turut menyifatkan masalah stering jenteranya mungkin menjadi punca kemalangan yang menimpanya.

Ketika ditanya lebih mendalam mengenai punca kemalangan itu, Alonso mengakui tidak dapat memberi jawapan yang diharapkan dengan beberapa teori yang dilaporkan media kekal sebagai teori.

Alonso tahun ini berlumba bersama pasukan McLaren Honda selepas meninggalkan Ferrari.

Ditanya sama ada dia melakukan keputusan salah meninggalkan Ferrari yang ketika ini dilihat menampilkan kebangkitan, Alonso mengakui tidak menyesal malah menyifatkan dirinya insan paling gembira.

"Saya salah seorang insan paling gembira di dunia. Benar. Saya memiliki cabaran yang besar di depan saya. Ia sesuatu yang sukar namun ia lebih baik apabila kami melakukannya."

Akibat kemalangan, Alonso hanya memiliki kurang 500 kilometer latihan bersama jentera McLaren.

"Apa yang saya lakukan dengan jentera ini (latihan) kurang atau jumlah yang sama dengan apa pelumba lakukan dalam latihan selama satu hari.

"Jadi saya juga tidak yakin dengan kemampuan jentera ini ketika ini dan saya masih perlu belajar banyak perkara. Jadi ia masa yang amat mencabar bagi saya dan saya sudah bersedia untuk menghadapinya," kata Alonso.

Selain Alonso, lima pelumba lain ialah Kimi Raikkonen (Ferrari), Nico Rosberg (Mercedes AMG PETRONAS), Felipe Nasr (Sauber) Daniil Kvyat (Red Bull Racing) dan Carlos Sainz (Toro Rosso).

36 dibaca
Berita Harian X