Sabtu, 28 March 2015 | 8:05am

Telefon 'Home Automation Bluetooth'

PESERTA Fakulti Kejuruteraan Elektronik menunjukkan rekaan mereka, Home Automation Bluetooth, pada Program iPROPEX 2015 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Aplikasi telefon khususnya menggunakan teknologi pintar yang semakin canggih, mencetus idea tiga penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini, untuk tampil dengan rekaan inovasi dikenali 'Home Automation Bluetooth'.

Produk hasil gabungan idea M Premraj, Zulhasmi Rosmi dan C Theivendran, masing-masing berusia 22 tahun, dianggap unik apatah lagi dengan fokus utama reka cipta masing-masing yang memberikan tumpuan khusus kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Bantu OKU, warga tua

Premraj ketika ditemui, berkata Home Automation Bluetooth dihasilkan khusus untuk memudahkan OKU dan warga tua yang mengalami kehilangan upaya dalam memudahkan urusan harian.

Katanya, beroperasi menggunakan bluetooth pada telefon pintar sebagai medium, pengguna hanya perlu menekan butang arahan melalui aplikasi disediakan untuk menghidup atau mematikan suis peralatan elektrik di rumah.

PELAJAR mengambil peluang mencuba pelbagai jenis rekaan dan permainan pada Program iPROPEX 2015 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. - Foto Eizairi Shamsudin

"Dengan hanya menggunakan teknologi bluetooth, seseorang warga tua atau individu kurang upaya boleh menghidup atau mematikan suis lampu, kipas, televisyen dan sebagainya dari jauh.

"Pengguna juga boleh menukar kelajuan kipas angin menggunakan aplikasi sama," katanya yang turut mengakui produk ciptaan mereka sudah mendapat perhatian agensi kerajaan untuk dikomersialkan.

Difahamkan, Home Automation Bluetooh adalah antara 110 projek inovasi pelajar PTSS yang dipersembahkan sempena Pameran Inovasi dan Persembahan Projek 2015 (iPROPEX 2015) yang berakhir kelmarin.

Dihasilkan 379 penuntut

Semua ciptaan dan inovasi berkenaan dihasilkan 379 penuntut daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, dan Jabatan Teknologi Maklumat.

Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik, Azizi Lin, ketika menutup iPROPEX 2015, berkata iPROPEX memberi ruang kepada pelajar untuk menunjukkan kemahiran kepada jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini, yang secara tidak langsung membantu dalam menjayakan pelan strategik pembangunan negeri terutama dalam bidang pendidikan dan latihan.

"Pencapaian ditunjukkan pelajar PTSS akan menaikkan imej mereka dan organisasi di mata agensi luar sama ada kerajaan atau swasta dan ia diharap dapat membantu kebolehpasaran pelajar Politeknik pada masa sekarang dan akan datang," katanya.

Majlis perasmian penutup iPROPEX 2015 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya, sebagai mewakili Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Berita Harian X