Ahad, 29 March 2015 | 12:04am
Orang ramai berkerumun untuk melihat belon udara panas secara lebih dekat ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad
Padang Polo di Georgetown dibanjiri orang ramai yang datang menyaksikan Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015, baru-baru ini. - Foto Danial Saad
Pengamal media merakam gambar ketika penerbangan khas ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad
Peluang menaiki belon udara panas dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad

Gementar di ruang udara


Keunikan belon udara panas menjadi tarikan di kalangan pengunjung ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad

BABAK filem romantis, Manisnya Cinta di Cappadocia lakonan Shaheizy Sam dan Fazura terus terbayang saat penulis menjejakkan kaki di Pesta Belon Panas Pulau Pinang 2015 yang berlangsung di Padang Polo, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Suasana sekitar kawasan berkenaan bertukar seolah-olah di lokasi penggambaran filem berkenaan apabila ia dipenuhi belon udara panas berwarna-warni yang terapung di ruang udara Pulau Mutiara.

Pengalaman baharu

Lantas membuatkan penulis turut teruja untuk menaiki belon udara panas kali pertama dalam hidup, nyata ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Namun, perasaan gelisah dan gemuruh tetap ada, apatah lagi inilah pengalaman baharu untuk melihat sebahagian pemandangan Pulau Mutiara dari udara, tetapi bukan dari kapal terbang, helikopter atau di puncak bangunan tinggi tetapi belon udara panas.


Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar sewaktu berada dalam belon udara panas ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad

Pada jam 6 petang, penulis dan rakan media yang lain diminta berkumpul oleh Tourism Malaysia Pulau Pinang di khemah khas bagi mendapatkan tiket masing-masing.

Sejurus mendapat tiket, kami melangkah ke lokasi dan menunggu giliran untuk menaiki belon udara panas bernombor 15.

Sementara menanti giliran, telefon bimbit di tangan mula merakam gambar dan terus dimuatkan di laman sosial Instagram serta Facebook.

Selepas 10 minit menunggu, tiba giliran penulis dan dua rakan media yang lain dan kami diminta menaiki winker basket atau gondola sebagai tempat penumpang.

Sebelum dilepaskan ke udara, juruterbang belon kami naiki memberikan sedikit taklimat termasuk cara-cara kedudukan penumpang ketika belon berkenaan mendarat nanti.


Antara belon udara panas yang memeriahkan Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad

Terapung di ketinggian 50 meter

Keterujaan untuk menaiki belon udara panas membuatkan penulis berdebar-debar, namun tidak sabar untuk merakamkan detik indah dan pemandangan mempesonakan ketika di udara.

Di dalam gondola, perasaan takut dan seronok silih berganti. Mahu saja penulis menjerit, namun ditahan ketika berada di ketinggian 50 meter.

Pemandangan saat itu cukup indah dalam formasi yang pelbagai dan langit seperti disimbah pelbagai hiasan warna-warni oleh 15 belon udara panas termasuk bentuk istimewa seperti Trump, Darth Vader dan Humpty Dumpty.

Belon-belon udara panas ini akan terapung di udara sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 7 pagi dan 6 petang.


Pengunjung merakam gambar selfie sewaktu berada dalam belon udara panas ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini. - Foto Danial Saad

Untuk sesi pagi, belon udara panas ini hanya boleh terapung sehingga jam 10 pagi kerana udara di dalam belon itu perlu lebih panas berbanding udara di luar.

Pengunjung turut berpeluang menaiki tiga belon udara panas yang dengan bayaran RM25, terhad kepada 180 orang setiap satu sesi dengan pembelian maksimum empat tiket bagi setiap individu.

Malah, orang ramai juga berpeluang meneroka di dalam ruang belon udara sepanjang 21.3 meter yang belum dikembangkan sepenuhnya dengan bayaran RM5.

Berpotensi jadi tarikan pelancong

Keseronokan menaiki belon berkenaan turut dikongsi oleh pengunjung Syazlyna Shafie, 22, yang berkesempatan merasai pengalaman itu bersama rakannya ketika berkunjung ke pesta berkenaan.

Katanya, beliau dan rakannya berbaris seawal jam 3 petang untuk mendapatkan tiket bagi sesi kedua yang bermula pada jam 6 petang.

"Penantian kami beratur tiga jam bagi mendapatkan tiket akhirnya berbaloi apabila dapat menaiki belon berkenaan yang sememangnya menjadi impian walaupun gementar ketika belon berkenaan mula terapung di udara.

"Tidak mampu ke Turki untuk menaiki belon udara panas membuatkan kami ke sini (Padang Polo) dan menaiki belon ini serta tidak melepaskan peluang mengambil gambar ketika di udara," katanya.

Pesta julung kali

Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 dianjurkan Penang Global Tourism (PGT) dengan kerjasama AKA Balloon Sdn Bhd, Tourism Malaysia Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).


Pengunjung merakamkan gambar kenangan berlatar belon udara panas pada Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown. - Foto Danial Saad

Pesta yang julung kali diadakan berpotensi menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini serta dijangka menjadi acara tahunan.

Orang ramai yang hadir pada malam perasmian pesta berkenaan turut berpeluang menyaksikan persembahan `Night Glow' yang mana semua belon berkenaan akan dinyalakan apinya serta diberi pancaran lampu di sekeliling kawasan itu.


Pengunjung, Amira Mohd Ariff (kiri) dan Hafizah Khairudin merakam gambar ketika Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2015 di Padang Polo, Georgetown, baru-baru ini.. - Foto Danial Saad

INFO

* Belon udara panas adalah teknologi penerbangan pertama oleh manusia

* Pada 21 November 1783, Jean-FranAois Piltre de Rozier dan Frantheirois Laurent d'Arlandes membuat penerbangan pertama dengan belon udara panas, hasil ciptaan adik-beradik Montgolfier di Paris, Perancis.

* Belon udara panas memiliki beg dipanggil 'envelope' yang diperbuat daripada bahan nilon dan mengandungi udara panas.

* Udara yang dipanaskan dalam 'envelope' ini membuatkannya terapung di udara kerana kepadatan yang lebih rendah berbanding udara sejuk di bahagian luar.

* Belon berkenaan turut dilengkapkan 'burner' iaitu alat yang berfungsi untuk memanaskan udara di dalam 'envelope' dan diletakkan di atas kepala penumpang.

Tergantung di bahagian bawahnya adalah gondola diperbuat daripada bahan ringan dan lentur berfungsi sebagai tempat penumpang atau sumber udara panas.

Belon yang digunakan dalam festival atau acara sukan diperbuat daripada bahan tahan lasak seperti Nomex.

Berita Harian X